Thursday, June 25, 2009

Pemuda Penjom sampaikan usul kepada Pengerusi PTPTN


Satu usul yang dilihat sangat penting oleh Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Penjom dalam Persidangan baru-baru ini ialah berkenaan pembayaran pinjaman PTPTN.

Sehubungan dengan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Penjom, Saudara. Khairul Nizam Dato' Abu Dahari telah berpeluang untuk menyampaikan Usul Pemuda Penjom kepada Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) iaitu Y.B. Dato' Dr. Mohammad Shahrum Osman yang juga merupakan Ahli Parlimen Lipis.

Penyampaian usul tersebut kepada Y.B Dato' Dr.Mohammad Shahrum diadakan dalam satu acara ringkas di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Lipis pada jam 9.00 malam, 20 Jun 2009 yang lalu.

Dalam majlis yang sama, Y.B. Dato' Dr.Mohammad Shahrum turut menyampaikan pesanan supaya mahasiswa-mahasiswi yang pernah mendapat kemudahan pinjaman PTPTN dan telah bekerja supaya mula membayar pinjaman tersebut sekurang-kurangnya RM 100.00 sebulan.

"Bagi mereka yang belum mendapat pekerjaan dan tidak mempunyai pendapatan tetap, mereka bolehlah menulis surat secara rasmi kepada PTPTN untuk memohon penangguhan pembayaran. Ini bagi mengelakkan nama mereka disenarai hitam dan menghadapi lain-lain implikasi termasuk tidak boleh ke luar negara".

Pemuda UMNO Penjom ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Y.B. Dato' Dr.Mohammad Shahrum kerana sudi menerima kunjungan Pemuda Penjom walaupun mempunyai aktiviti yang padat hari tersebut. Semoga usul tersebut dapat diperhalusi dan seterusnya dipertimbangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengarah PTPTN serta mencadangkan kepada Kerajaan.

Mesyuarat Cawangan Penjom


Selepas sahaja Mesyuarat Pergerakan Pemuda Cawangan termasuk Wanita dan Puteri, diadakan pula Mesyuarat Cawangan di Balai Raya Kg. Pagar, Penjom.

Hampir 50 orang ahli Cawangan merangkumi ketiga-tiga sayap hadir di mesyuarat tersebut.

Wakil UMNO Bahagian Lipis, Saudara. Khairul Nizam Dato' Abu Dahari juga turut hadir.

Mesyuarat yang berlangsung dalam suasana harmoni ini juga merupakan peluang kepada ahli-ahli untuk menyampaikan permasalahan kampung kepada pemimpin parti dan cadangan-cadangan yang boleh dibawa ke peringkat Kerajaan.



Ketua Cawangan, En. Khalid bin Manan menyampaikan ucapan



Dari Kiri : Ketua Puteri, Ketua Wanita dan Setiausaha Cawangan



Ahli-ahli menyampaikan cadangan dan pandangan



Wakil UMNO Bahagian Lipis menyampaikan ucapan.




Kertas Persidangan Cawangan

Wednesday, June 24, 2009

Blog Pemuda Penjom dapat Liputan Sinar Harian !



Pergerakan Pemuda UMNO ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Cik. Fansurina binti Abdullah dari Skuad Cakna Sinar Lipis kerana telah sudi menerbitkan Berita tentang pelancaran Blog Pemuda Penjom pada 20 Jun 2009 yang lalu.

Semoga Allah akan terus memberkati Cik. Fansurina dan memudahkan kerja-kerja kewartawanannya bagi memberikan maklumat yang berguna serta tepat untuk rakyat Lipis.

Berita berkenaan Pemuda Penjom boleh dibaca di halaman P14 (Sinar Lipis) dalam akhbar Sinar Harian terbitan 24 Jun 2009 (Rabu).

Tuesday, June 23, 2009

Usul Pembangunan Pemuda Penjom-Baiki Jalan dan Paip di Kampung



NAIK-TARAF JALAN KAMPUNG

Pergerakan Pemuda dengan rendah diri ingin mencadangkan kepada Kerajaan supaya menaiktaraf jalan kampung dan kemudahan yang berkaitan di sekitar Kg. Pagar dan Kg. Genting kerana banyak lubang-lubang yang membahayakan penggunanya dan ianya terlalu sempit.

Pergerakan Pemuda juga mencadangkan pihak JKKK Kg. Pagar dan Kg. Genting memperhebatkan permohonan naik-taraf jalan ini dengan merebut apa-apa peluang yang diperuntukkan oleh Kerajaan disamping membantu pegawai-pegawai Kerajaan dalam membuat keputusan dengan lebih tepat dan betul dengan cara penyaluran maklumat daripada pemimpin peringkat kampung.

PENGANTIAN PAIP-PAIP AIR LAMA

Sebagai parti yang menjadi mata dan telinga rakyat, antara keluhan biasa yang didengari ialah masalah gangguan bekalan air di kampung akibat kebocoran paip yang telah lama dan berkarat.

Bertindak-balas atas keluhan dan rintihan rakyat di kampung ini, Pergerakan Pemuda memohon kepada Kerajaan Negeri melalui Jabatan Bekalan Air (JBA) untuk mengantikan semua paip-paip lama dan telah berusia di Kg. Pagar dan Kg. Genting demi untuk memastikan kualiti kesihatan rakyat terjamin dan seterusnya kebajikan rakyat yang membayar perkhidmatan air diperolehi dengan maksimum.

Usul Pendidikan Pemuda Penjom-Bahasa dan Sistem Pendidikan Kebangsaan


PENGAJIAN BAHASA CINA DAN INDIA DI SEKOLAH KEBANGSAAN & MENYATUKAN SISTEM PENDIDIKAN KEPADA SATU SISTEM KEBANGSAAN SAHAJA

MENYEDARI Setelah 52 tahun negara mengecap kemerdekaan, semangat perpaduan kaum yang terjalin kian luput dan hampir terpadam akibat golongan-golongan yang menggunakan isu perkauman untuk meraih sokongan untuk kepentingan politik sempit mereka.

MEMAKLUMI Terdapat lima elemen yang dikenal pasti boleh menjayakan Pembinaan Negara Bangsa di negara ini iaitu nilai-nilai yang boleh dikongsi bersama, perpaduan serta toleransi, bertanggungjawab serta mempunyai persefahaman, mempunyai bahasa pengantar yang boleh diterima pakai dan integrasi antara kaum, wilayah dan budaya.

MENGINSAFI Kini semangat dan nilai itu perlu diterangi dan disuburkan semula dengan konsep Satu Malaysia dan Pembinaan Negara Bangsa yang disarankan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

MAKA Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Penjom yang bersidang pada hari ini 20 Jun 2009 membuat ketetapan:

1. Mencadangkan kepada Kerajaan untuk mempertimbangkan supaya Bahasa Cina dan India diajar di semua sekolah-sekolah Kebangsaan bermula di peringkat RENDAH agar ianya dilihat sebagai satu usaha penting dalam mewujudkan semangat perpaduan yang kuat dikalangan rakyat dengan berkongsi nilai-nilai yang dapat difahami bersama.

2. Mencadangkan kepada Kerajaan satu anjakan penting yang menuntut tindakan ‘BERANI BERUBAH’ iaitu dengan menyatukan sistem persekolahan kepada satu sistem SEKOLAH KEBANGSAAN sahaja yang mengunapakai sistem pendidikan yang sama agar pemahaman dan hala tuju yang berbeza-beza antara kaum dapat dieratkan.

Usul Pendidikan Pemuda Penjom-PTPTN


KERTAS MESYUARAT BIL. 04/09
PERINGATAN PERSIDANGAN PERGERAKAN PEMUDA UMNO
CAWANGAN : PENJOM / BAHAGIAN : LIPIS

1.USUL PENDIDIKAN

PINJAMAN PERBADANAN TABUNG PENDIDIKAN TINGGI NASIONAL (PTPTN)

Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Penjom sangat menghargai usaha kerajaan mewujudkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam membantu rakyat membiayai pengajian pendidikan peringkat tinggi. Sesungguhnya Pergerakan Pemuda sedar dan setuju bahawa setiap hutang wajib dibayar agar peluang pinjaman ini dapat diteruskan kepada generasi seterusnya. Pada masa yang sama, ianya juga tidak harus membebankan pihak-pihak yang telah mendapat kemudahan ini.


MENYEDARI Bahawa dalam keadaan ekonomi semasa yang tidak begitu baik menyebabkan peluang untuk mendapatkan pekerjaan amatlah terhad dan seterusnya mahasiswa-mahasiswi yang baru menamatkan pengajian tiada punca pendapatan untuk membayar balik pinjaman.

MEMAKLUMI Walaupun Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia telah mengumumkan untuk memberi kebenaran menangguhkan pembayaran balik pinjaman maksimum selama 2 tahun bagi golongan yang belum mendapat kerja dan menyambung pengajian, DIDAPATI bahawa kos pentadbiran tetap dikenakan kepada peminjam sepanjang tempoh penangguhan tersebut.

MENGINSAFI bahawa syarat ini sememangnya akan terus membebankan mahasiswa-mahasiswi yang belum bekerja disamping tekanan yang dihadapi dalam proses untuk memulakan hidup.

MAKA Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Penjom yang bersidang pada hari ini 20 Jun 2009 membuat ketetapan:

1. Merayu kepada Kerajaan agar mempertimbangkan semula syarat pembayaran balik ini dan menyediakan mekanisme pembayaran balik yang lebih mesra pelanggan dengan mempertimbangkan kebajikan rakyat.

2. Mencadangkan kepada Kerajaan untuk mempertimbangkan satu sistem REBAT ataupun INSENTIF diwujudkan bagi mahasiswa-mahasiswi yang membayar pinjaman mengikut jadual yang ditetapkan.

3. Mencadangkan kepada Kerajaan untuk mengiktiraf kejayaan mahasiswa-mahasiswi disamping mendorong generasi muda Malaysia untuk mencipta kecemerlangan pendidikan dengan menganugerahkan pengecualian pembayaran pinjaman PTPTN atau pemansuhan 50 % pinjaman kepada mahasiswa-mahasiswi yang mencipta kecemerlangan di kampus.

Monday, June 22, 2009

Ketua Pemuda Lipis Rasmi Blog Pemuda Penjom

From Drop Box

Bersempena dengan Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Penjom 2009 pada 20 Jun 2009 yang lalu, blog Pemuda Penjom telah dilancarkan secara rasminya oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Lipis merangkap Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang-Y.Bhg Saudara. Abu Jimi bin Samat.

Dalam ucapannya sewaktu melancarkan Blog Pemuda UMNO Penjom, Beliau mengucapkan tahniah kepada Pemuda Cawangan Penjom kerana bertindak pro-aktif dengan melancarkan blog bagi menghubungkan masyarakat dengan dunia IT dan menyediakan ruang maklumat kepada rakyat khususnya generasi muda yang menjadikan teknologi maklumat sebagai gaya hidup terkini. Usaha ini juga selaras dengan Rukun Pemuda yang mengkehendaki Pemuda supaya Pro-Aktif dalam apa-apa usaha untuk mendekatti masyarakat.

Menurut Abu Jimi lagi "Internet dan mediumnya seperti Blog merupakan satu media baru dalam menyampaikan maklumat dan pandangan. Walaubagaimanapun, ia mesti digunakan secara beretika dan positif. Bagi ahli-ahli Pemuda, segala cadangan, pandangan dan kritikan perlu disampaikan dengan cara yang berhemah mengikut saluran yang betul dan paling penting tidak menyalahi etika dan tatacara yang telah ditetapkan oleh parti".

"Blog ini juga tidak seharusnya dihadkan kepada hal-ehwal politik sahaja, tetapi ia juga boleh menjadi tempat masyarakat untuk mendapatkan maklumat-maklumat berguna seperti aktiviti-aktiviti di peringkat kampung, daerah dan Negeri & penjelasan tentang isu-isu semasa".
From Drop Box


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Penjom-Saudara. Khairul Nizam Dato' Abu Dahari yang mencetuskan idea penubuhan blog ini menjelaskan bahawa "Medium blog merupakan satu usaha Pemuda Penjom bagi merapatkan masyarakat khususnya golongan muda dengan Pemuda melalui penyediaan maklumat-maklumat terkini aktiviti parti. Selain itu, ia juga antara lain berfungsi sebagai medan untuk mendapatkan maklumat oleh penduduk kampung yang tinggal di luar daerah dan negeri bagi mendapatkan maklumat terkini hal ehwal tempatan khususnya yang berkaitan dengan kampung dan daerah Lipis".

Dalam majlis yang sama, Abu Jimi turut meluangkan masa untuk membuat catatan pertama dalam Blog Pemuda Penjom bagi mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Lipis.
From Drop Box

Mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO Penjom

From Drop Box
Pergerakan Pemuda UMNO Penjom telah mengadakan Persidangan Tahunan selaras dengan dengan Fasal 19.1-Peraturan Pergerakan UMNO. Ia telah diadakan pada 20 Jun 2009 (Sabtu) jam 2.00 petang bertempat di Pusat Aktiviti Belia Penjom, Kuala Lipis, Pahang.

Y.Bhg Saudara. Abu Jimi bin Samat-Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lipis yang juga merupakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Pahang telah sudi hadir bagi merasmikan Persidangan Tahunan Pemuda UMNO Penjom tahun 2009.

Dalam ucapannya, Saudara. Abu Jimi telah berkongsi tentang Lima Rukun Pemuda yang mesti difahami oleh ahli-ahli Pemuda UMNO iaitu Berprinsip, Inklusif , Proaktif, Relevan dan Bersatu.

Menurut Abu Jimi, Pemuda Berprinsip bermakna Pemuda tetap berpegang teguh kepada perjuangan asas UMNO, agama, bangsa dan negara serta mempertahankan Perlembagaan, Rukun Negara, kontrak sosial dan perkongsian kuasa.

Pemuda Inklusif adalah dengan memberi fokus kepada usaha bukan saja pada ahli UMNO tetapi juga generasi muda tanpa mengira kaum yang tidak berparti dan tidak menyokong kita," katanya.

Beliau berkata, Pemuda Proaktif bermaksud tidak perlu menunggu sebarang arahan untuk menyelesaikan masalah dan ia perlu dilakukan dengan pantas dan berkesan sebelum ia menjadi krisis yang besar.

Katanya lagi, bagi menjadikan Pemuda Relevan, semua programnya diubah suai mengikut cita rasa golongan muda dengan menggunakan saluran komunikasi seperti media baru, facebook, blog dan lain-lain.

"Dan yang terakhir (rukun kelima) adalah Pemuda Bersatu. Pemuda tidak boleh berpuak-puak dan terikut-ikut dengan politik pecah-belah kerana ia akan menggagalkan usaha BN untuk memenangi pilihan raya umum akan datang,"

Persidangan ini turut dihadiri Ketua Cawangan Penjom En. Khalid bin Abdul dan Ketua Pergerakan Pemudanya-Sdra. Khairul Nizam bin Dato' Abu Dahari.
From Drop Box


Saudara. Abu Jimi menyampaikan ucapan dan merasmikan Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Penjom

From Drop Box


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Penjom-Khairul Nizam menyampaikan ucapan kepada ahli-ahli Pemuda.

From Drop Box


From Drop Box

Ahli-ahli Pemuda yang hadir ke Persidangan Pemuda UMNO Penjom

From Drop Box

Saudara. Abu Jimi menerima borang keahlian baru Pemuda UMNO seramai 30 orang dari Ketua Cawangan-Abdul Khalid dan Ketua Pemuda Cawangan-Khairul Nizam.

From Drop Box


From Drop Box

Abu Jimi meluangkan masa bemesra dengan ahli Pemuda dan Pemimpin Cawangan.

Friday, June 19, 2009

Pemuda UMNO Penjom lancar Blog



Pergerakan Pemuda UMNO Penjom bakal melancarkan blog sebagai suara rasminya bagi menghubungkan ahli-ahli pergerakan Cawangan dan juga rakyat.

Menurut Ketuanya, Khairul Nizam bin Dato' Abu Dahari "Usaha ini adalah selaras dengan perkembangan teknologi maklumat hari ini, Pergerakan Pemuda UMNO Penjom bersama-sama dengan arus universal menggunakan media baru sebagai usaha menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan terutama bagi ahli-ahli dan juga penduduk Penjom yang tinggal di luar kampung dan daerah".

"Ahli-ahli digalakkan untuk menggunakan kemudahan ini secara maksimum dan mengambil peranan aktif dalam memajukannya."Laman blog Pergerakan Pemuda UMNO Penjom boleh dilayari di http://pemudapenjom.blogspot.com

Thursday, June 18, 2009

Ahli Parlimen Lipis Aktif Guna Blog Berhubung dengan rakyat





Ahli Parlimen Lipis, Dato' Dr. Mohamad Shahrum bin Osman aktif menggunakan blog bagi menyebarkan maklumat dan berhubung terus dengan rakyat di Parlimen Lipis.

Blog beliau yang memaklumkan aktiviti-aktiviti terkini bersama rakyat turut menyediakan ruang kepada masyarakat untuk menyampaikan pandangan dan bertukar-tukar fikiran.

Pemuda Penjom menyeru kepada semua ahli dan masyarakat kampung untuk menggunakan ruang dan kemudahan ini bagi berkomunikasi secara langsung dengan wakil rakyat yang dipilih oleh kita.

Laman Blog Ahli Parlimen Lipis boleh dicapai melalui alamat berikut.

Untuk maklumat lanjut, sila klik sini Blog Ahli Parlimen Lipis

Wednesday, June 17, 2009

Persidangan Pemuda UMNO Penjom



Kepada semua ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO Penjom, anda semua dijemput hadir ke Persidangan UMNO Cawangan yang akan diadakan pada :


Tarikh : 20 Jun 2009 (Sabtu)

Masa : 2.00 petang

Tempat : Pusat Aktiviti Belia Penjom


.


Semua dijemput hadir.

Selamat Hari Bapa dari Pemuda Penjom

Selamat Hari Bapa kepada yang telah menjadi Bapa, akan menjadi Bapa dan masih mempunyai Bapa. Marilah kita menghayati pengorbanan Insan bernama Bapa, Abah, Ayah, Bapak, Abi dan apa-apa sebutan pun yang membawa maksud seorang Bapa.

**Sila klik pada butang PLAY untuk menonton semua koleksi iklan Petronas di bawah.

Petronas- Raya 2007


Petronas-Raya 1999


Petronas-Raya 2002


Petronas-Raya 2005


Petronas-Raya 2006


Petronas-Raya 2001


Selamat Menyambut Hari Bapa pada Ahad ini, 21 Jun 2009. Marilah kita meraikan walapun hanya dengan mengucapkan 'Terima Kasih' Abah, Bapa, Ayah kerana menjaga saya sehingga ke tahap ini. Bagi yang sudah tiada, marilah kita doakannya agar mereka ditempatkan di kalangan roh orang-orang yang Soleh.

UMNO Penjom Pilih Dato' Najib


KUALA LIPIS 9 Nov. - UMNO Bahagian Lipis hari ini memilih gandingan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib masing-masingnya sebagai calon Presiden dan Timbalan Presiden parti pada pemilihan Mac depan.
Persidangan perwakilan itu juga mencalonkan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai calon bertanding jawatan Naib Presiden parti pada pemilihan akan datang.
- Utusan