Friday, July 31, 2009

Majlis Tahlil anjuran Pemuda dan Belia Penjom


Pada 30 Julai 2009 (Khamis) satu Majlis Tahlil dan Bacaan Yassin telah diadakan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Penjom dan Persatuan Belia Penjom bertempat di Masjid Batu 6 Penjom, Kuala Lipis bermula jam 7.30 malam.

Majlis bermula dengan Solat Maghrib berjemah, Solat Sunat Hajat dan diikuti dengan bacaan Yassin serta Solat Isyak berjemaah.

Majlis tahlil arwah ini diadakan untuk Allahyarham Pak Itam Yunus (Bekas Ketua Cawangan), Allahyarham Paklang Hud, Allahyarham Dato' Abu Dahari bin Osman dan Allahyarhamah Sakinah binti Musa (Adinda kepada Shahrul Azizul Musa-Ketua Penerangan Pemuda Penjom).

Hampir 100 orang hadir bagi menjayakan majlis tersebut termasuk ahli-ahli Belia dan Pemuda Penjom.

Tuesday, July 28, 2009

Kenangan Dr.Bubbles di Penjom



Artikel ini dipetik dari laman blog : drbubbles.blogspot.com
.Blog tersebut adalah kepunyaan Dr.Bubbles atau nama sebenarnya Iskandar Syah bin Ismail.

Iskandar Syah Ismail 33 tahun atau lebih dikenali Dr.Bubbles berumur 33 tahun adalah anak kepada Cikgu Ismail Mat berasal dari Padang Tengku (Kg Perlak), mengajar di Daerah Lipis dari tahun 1980-1988 (SK Penjom,SK Wan Ibrahim dan SRK Clifford) sebelum bertukar ke Jerantut dan terus menetap di sana sehingga kini.

Iskandar lebih mesra dengan nama panggillan ‘Is’ atau 'Jiss' di kalangan rakan-rakan sebaya dan penduduk Kg. Penjom sewaktu beliau tinggal di kampung ini.

Beliau merupakan lulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari sebuah universiti di Bradford, United Kingdom tetapi sangat berminat dalam kerja-kerja kemanusia.

Iskandar @ Dr.Bubbles terkenal dengan kemahiran Terapi Badutnya (Clown Theraphy) dengan menghiburkan golongan kanak-kanak sakit di hospital dan kawasan krisis seperti di Zon Peperangan.

Beliau mendapat pendedahan dan latihan khusus dalam bidang ‘Doktor Badut’ ini di University of Winconsin dalam satu kursus jangka panjang dan pada tahun 2005 pula beliau berpeluang berguru dengan Guru Komedi Fizikal iaitu Avner Eisenberg di Celebration Barn Theatre di Maine, Perancis.

Iskandar terlibat dalam aktiviti-aktiviti kesukarelaan di seluruh dunia seperti di bencana Tsunami, Acheh, Gempa Bumi di Bam, Iran melalui Islamic Relief Malaysia (IRM) sebuah pertubuhan bukan kerajaan berkaitan kerja-kerja kemanusian yang berpangkalan di British.

Ikuti antara perkongsian pengalamannya ketika tinggal di Kampung Penjom. Begitu tinggi rasa cintanya kepada kampung kita ini walaupun keluarganya kini telah bermastautin di Jerantut Pahang.
----------------------------------------------------------------------------------
Ahad, 12 Julai 2009
Kenangan Muafakatnya Sebuah Kampung

Bapa saya mengajar di SK Penjom daripada tahun 1980 sehingga 1986 sebelum bertukar ke Jerantut sehinggalah beliau pencen.


Bapa saya dengan Tuan Guru Dolah.

Sabtu lepas, selepas menghadiri majlis perkahwinan anak rakannya di Kuala Relong,Kuala Lipis, beliau mengajak saya menziarahi Tuan Guru Dolah di Penjom. Rupa-rupanya Tuan Guru Dolah masih sihat walafiat walaupun usianya sudah mencecah 86 tahun. Saya masih ingat,sewaktu kecil dahulu, beliaulah yang mengajar tafsir Al-Quran di Masjid Penjom tanpa jemu walaupun anak-anak kecil seperti saya akan tersengguk-sengguk menahan kantuk.

Guru besar SK Penjom kini ialah Cikgu Rosmi Din. Anak jati kampung tersebut.Beliau juga 'anak-anak buah' bapa saya semasa bertugas di SK Penjom dahulu.Jika dahulu beliau hanya guru biasa, kini beliau kembali semula ke sekolah itu sebagai guru besar.

Bapa saya amat gembira melihat anak-anak buahnya seperti Cikgu Rosmi,Cikgu Suhaimi Yunan semuanya sudah berjaya dalam karier perguruan dengan menjawat jawatan guru besar.

Cikgu Rosmi memberitahu bapa saya ketika bertemu di SK Penjom pada hari Sabtu lepas,

"Saya mahu kembalikan kegemilangan SK Penjom seperti zaman cikgu dahulu".

Zaman bapa saya mengajar di SK Penjom dahulu nyata berbeza. Apabila beliau mula menjawat jawatan Guru Besar pada tahun 1980, buat pertama kali dalam sejarah Kg.Penjom, sambutan Jubli Emas SK Penjom disambut dengan gilang-gemilang. Dipanggilnya Tan Sri Ghazali Shafie "King Ghaz" untuk merasmikan majlis ulangtahun itu dan pada malamnya seluruh penduduk kampung Penjom dan kampung-kampung sekitarnya berkumpul di padang di belakang SK Penjom untuk menyaksikan persembahan kumpulan muzik yang terkenal pada waktu itu, The Carefree.

Sehingga kini, penduduk kampung itu masih mengingati saat-saat manis itu. Ia sebenarnya sebuah taktik licik bapa saya untuk mengajar penduduk kampung itu agar melihat jauh dari langkauan pandangan mereka selama ini.Beliau sebenarnya cuba mengajar penduduk kampung itu merasa bahawa sekolah merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka. Beliau mahu agar penduduk kampung itu bermuafakat untuk memastikan kejayaan anak-anak mereka di sekolah itu.

Selepas itu, sewaktu hari-hari Sukan Sekolah, beliau sekali lagi dengan liciknya menundukkan' penduduk kampung yang rata-rata anak mereka belajar di SK Penjom untuk turut sama menjayakannya. Merekalah yang bertungkus-lumus menyiapkan pondok rumah sukan sekolah bersama-sama anak mereka dari pagi hingga ke tengah malam.Esok paginya,semasa hari sukan sekolah, kami lihat pondok-pondok rumah sukan di tepi pandang sudah dihiasi indah dan mereka berdiri di tepi pondok dengan bangganya.Malah sebagai insentif, acara sukan juga diadakan untuk melibatkan para penjaga dengan acara-acara seperti lumba motorsikal paling lambat yang dimenangi oleh Pakcik Umar,bapa si Sharif,pelajar paling nakal dalam sejarah SK Penjom.

Alhamdulillah berkat kemuafakatan itu, maka mudahlah tugas guru di sekolah untuk mengajar anak-anak Penjom itu.Jika ada kelas tambahan, kelas akan penuh sentiasa. Semasa di hari penyampaian hadiah, semua penduduk kampung turun menyaksikan majlis penyampaian hadiah. Tiada masalah disiplin yang berat-berat ditimbulkan oleh anak-anak mereka.Sharif yang nakal itu juga dijinakkan dengan dilantik sebagai pengawas sekolah.Hahaha.

Jika ada acara gotong-royong di sekolah atau di masjid bersebelahan di mana bapa saya juga merupakan pengerusi masjid, berbondong-bondong penduduk kampung datang membantu membersihkan kawasan sekolah ,tanah perkuburan dan masjid.

Permuafakatan. Barangkali inilah legasi yang bapa saya tinggalkan di kampung ini.

Dari kiri: Cikgu Rosmi,Pakcik Manan,Bapa saya dan seorang penduduk kampung yang saya tidak ingat namanya.

Alhamdullillah,ketika kami singgah di SK Penjom selepas melawat Tuan Guru Dolah, kami dapat bertemu semula dengan Cikgu Rosmi dan penduduk-penduduk kampung itu yang masih saya kenali walaupun sudah tidak bertemu hampir 23 tahun lamanya.Mereka sedang menunggu ketibaan pegawai dari kementerian pendidikan untuk melihat tapak pembinaan dewan sekolah yang baru.

Alangkah gembiranya kami apabila mengetahui bahawa usaha pembinaan dewan SK Penjom yang baru akan dilaksanakan oleh para penduduk kampung itu sendiri melalui koperasi yang telah ditubuhkan oleh mereka. Inilah bukti muafakatnya sebuah kampung masih kuat untuk melihat anak-anak jati kampung itu berilmu dan berjaya di dalam hidup.

Saya pasti bapa saya sedang tersenyum kini kerana usaha liciknya itu sebenarnya telah berjaya.
------------------------------------------------------------------------------

Ikuti lagi kenangan lain beliau di Kg. Penjom (Sila klik pada tajuk di bawah)

1.Kisah Masjid Penjom

2.Kisah Perpustakaan SK Penjom

3.Kisah Keropok Jering dan Arwah We Baiti

4.The Star Online-Doctor Clown

Saturday, July 25, 2009

Program Forum Hal Ehwal Islam Berjaya Dilaksanakan


Masyarakat perlu hidup dalam keadaan bersatu padu selaras dengan seruan Allah S.W.T dan ajaran Islam sendiri yang menegaskan sekiranya manusia hidup dalam keadaan tidak harmoni dan bersatu maka mereka akan lemah. Ini termasuk lemah dari segi ekonomi, kualiti kehidupan,kepemimpinan serta pelbagai aspek lain lagi. Nilai-nilai bersatu-padu mesti diamalkan dalam institusi keluarga, organisasi tempat kerja dan juga dalam masyarakat bagi melahirkan masyarakat yang harmoni dan berjaya.

Itulah antara intipati Forum Hal Ehwal Islam Al-Falah anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Penjom dan Persatuan Belia Penjom baru-baru ini.

Program yang mendapat sokongan daripada Pejabat Menteri Besar Pahang dan Komuniti Bestari Mukim Penjom itu telah berjaya menarik hampir 800 orang penduduk setempat hadir bagi mendengar nasihat dan buah fakiran daripada ahli panel iaitu Y.Bhg Al-Fadhil Ustaz. Badlishah bin Alauddin (Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Pahang) dan juga Y.Bhg Al-Fadhil Ustaz. Khairul Amran bin Abd. Jalil (Pegawai Agama Islam Daerah Raub dan dipengerusikan oleh Y.Bhg En. Mustapa bin Haji Long (Pegawai Khas kepada YAB Menteri Besar Pahang)

Walaupun keadaan hujan lebat, penonton tidak berganjak dari tempat duduk untuk mendengar kupasan tajuk: “Pisang Sesikat, Gulai Sebelanga Kerja Bermuafakat, Makan Bersama” yang menghuraikan dengan terperinci tentang amalan hidup bekerjasama dan bermuafakat dalam masyarakat di kehidupan seharian serta suruhan Islam dalam menyeru kepada kesatuan umat.

Penonton juga dihiburkan dengan nyanyian Nasyid oleh Kumpulan Brothers yang turut mendendangkan lagu-lagu yang menyeru kepada semangat bersatu serta berkerjasama.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Penjom, Saudara. Khairul Nizam Dato’ Abu Dahari berkata tujuan program yang julung kali diadakan ini ialah untuk menerapkan budaya keilmuan di kalangan masyarakat desa di samping membawa kelainan dalam usaha menyampaikan maklumat dan ilmu kepada rakyat.

Menurutnya lagi, “Pada awal kami tidak meletakkan sasaran yang tinggi bagi jumlah penonton yang hadir, walaubagaimanapun kami sangat bersyukur apabila program ini mendapat sokongan daripada penduduk kampung dan sekitar Daerah Lipis amnya. Terima kasih juga kepada Radio Malaysia Pahang dan akhbar Sinar Harian yang memberi hebahan kepada masyarakat berkenaan program ini”.

Bagi Pengerusi Belia Penjom, Saudara. Zaidi bin Zahari pula melalui penganjuran program ini juga ia dapat memupuk semangat muafakat dan bersatu hati sesama ahli persatuan di samping menjadi medan latihan kepada golongan muda sebagai bakal pemimpin pelapis masa hadapan

“Melalui program ini kami dapat membentuk semangat kerjasama yang tinggi termasuk membuktikan semangat pengorbanan dan komitmen ahli-ahli persatuan dari segi tenaga, buah fikiran dan wang ringgit. Ia menguatkan lagi semangat kami untuk menganjurkan program bermanfaat seperti ini pada masa hadapan”.

Program tersebut turut dihadiri oleh Wakil Ahli Parlimen Lipis, kepimpinan UMNO Bahagian termasuk sayap Pemuda dan Puteri serta lapisan pemimpin setempat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Penjom, Khairul Nizam bin Dato' Abu Dahari yang juga lebih mesra dengan panggilan Angah juga ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua ahli pergerakan Pemuda UMNO Cawangan yang memberikan komitmen dan sokongan sehingga program ini berjaya dilaksanakan walaupun terdapat beberapa cabaran dan kesulitan yang perlu dihadapi.

**Sila klik pada gambar untuk besarkan

Sekitar Program Forum Hal Ehwal Islam Al-Falah


Panel sedang menyampaikan ceramah


Kehadiran tetamu sehingga habis forum


Kedatangan penonton luar jangkaan


Kaum muslimin khusyuk mendengar ceramah


Tetap mendengar walaupun hujan lebat


Kumpulan Brothers menyampaikan Nasyid


Penonton yang hadir selepas hujang berhenti


Pengerusi Tetap Pemuda Penjom dan En. Mustapa Haji Long (Pengerusi Forum)


Kanak-kanak turut seronok


Kawalan lalulintas yang cekap


Kerjasama antara belia selepas habis program


Semangat bersatu padu di kalangan belia


Ahli-ahli Belia siap sedia untuk bertugas


Ahli Belia melepas lelah selepas membuat persiapan


Wazi bertungkus-lumus merebus jagung


Abang Kudus dan anak-anak


Cikgu. Shahroni dan anak-anak

##Sila klik pada gambar untuk besarkan

Takziah kepada Sdra. Jaziratul (Toleng)


Pergerakan Pemuda UMNO Penjom ingin merakamkan ucapan takziah kepada Saudara. Mohd. Jaziratul bin Jamaludin atau Toleng yang merupakan ahli Pergerakan Pemuda Penjom kerana datuknya (Aki) telah kembali ke rahmatullah pada 24 Julai 2009 (Jumaat) lepas.

Aki kepada Toleng yang lebih dikenali sebagai Paklang Hud di kalangan orang-orang kampung sepanjang hayatnya merupakan seorang yang sangat dekat di hati orang kampung. Lebih-lebih lagi apabila Allahyarham Paklang Hud membuka sebuah kedai runcit di Kg. Pagar ini. Melalui kedai runcit Pak Lang Hud inilah orang kampung dapat membeli keperluan harian seperti sayur, ikan dan lain-lain lagi. Pernah satu ketika, kedai runcitnya ini menjadi tumpuan orang kampung untuk mengisi minyak petrol yang diisi dalam botol-botol kecil sebelum dijual kepada orang kampung.

Selain itu, Paklang Hud juga mempunyai kepakaran dalam hal-ehwal memasak khususnya dalam majlis-majlis kenduri kahwin. Kebiasaannya Pak Lang Hud akan mengetuai kerja-kerja di dapur jika sesuatu kenduri diadakan di Kg. Pagar.

Semoga Toleng dan ahli keluarga redha dengan pemergian akinya. Pergerakan Pemuda UMNO Penjom mendoakan agar roh Allahyarham Paklang Hud akan dicucuri rahmat dan digolongkan dikalangan orang-orang yang dikasihi Allah. InsyaAllah.

Friday, July 10, 2009

Takziah-Bekas Ketua Cawangan Meninggal Dunia

From Pergerakan Pemuda UMNO Penjom, Bahagian Lipis, Pahang.
AL-FATIHAH.Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Penjom ingin berkongsi kesedihan dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Pak Hitam Yunus (atau lebih mesra dengan Ta' Yunus) yang merupakan Bekas Ketua Cawangan UMNO Penjom yang telah kembali ke Rahmatullah pada 8 Julai 2009 (Rabu)

Pada ketika hayatnya, beliau pernah berkhidmat sebagai anggota tentera dan merupakan kumpulan pertama yang mengasaskan penubuhan Pasukan Ikatan Relawan Rakyat atau RELA pada 11 Januari 1972.Tujuan penubuhan RELA ialah untuk membolehkan rakyat jelata untuk secara sukarela tampil menganggotai sebuah pasukan sukarela bagi membantu memelihara dan mengekalkan keselamatan dan keamanan negara.

Disebabkan latar perkhidmatannya yang banyak menyumbang kepada negara dan melalui liku-liku sejarah negara yang berdepan dengan pelbagai ancaman serta musuh negara seperti komunis, semangat patriotisme beliau kepada negara, bangsa dan agama adalah sangat tinggi.

Semangat juangnya diteruskan dengan menyumbang bakti ke parti UMNO melalui perkhidmatannya sebagai Ketua Cawangan apabila beliau kembali ke Kg. Pagar Penjom selepas tamat perkhidmatan dalam Kerajaan.

Ketua dan seluruh ahli Pergerakan Pemuda berdoa agar rohnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh.

Semoga pahala yang dikurniakan oleh Allah SWT melalui sumbangan Allahyarham kepada pembangunan kampung dan bangsa tidak akan terputus dan diperolehi Allahyarham di alam barzakh.

Di dalam As Shahih diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda :

“Apabila seorang anak Adam meninggal, maka akan terputus amalannya kecuali tiga perkara : shadaqoh jariyah, atau ilmu yang bermanfaat, atau anak soleh yang mendoakan kepadanya"

Ibnu Majah meriwayatkan :

Sesungguhnya amal kebaikan yang akan sampai kepada mayat setelah meninggalnya adalah : Ilmu yang dia sebarkan, Anak soleh yang dia tinggalkan, Mushaf yang dia wariskan, Masjid yang dia dirikan, Rumah yang dipakai para musafir yang telah dia bangun, Sungai yang dia alirkan atau sedekah yang dia keluarkan dari hartanya pada
saat dia masih hidup dan sihat, semua akan sampai kepadanya setelah dia meninggal”.

“Harta dan anak-anak soleh adalah perhiasan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi shaleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan”. (Al Kahfi : 46)

Saturday, July 4, 2009

Pemuda Penjom anjur lawatan ke Lombong Emas Terbesar di Malaysia



Pergerakan Pemuda UMNO Penjom, Persatuan Belia Penjom dengan kerjasama JKKK Kg. Pagar Penjom akan mengadakan lawatan sambil belajar ke Lombong Emas Penjom pada 16 Julai 2009 (Khamis) bermula jam 9.00 pagi.

Antara tujuan utama lawatan ke lombong Emas terbesar di Malaysia itu ialah untuk melihat operasi perlombongan Emas dan sistem pengurusannya yang dikatakan terbaik dan termoden di dunia.


Peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Pemuda, Belia Kg. Pagar dan penduduk kampung dijangka menyaksikan bagaimana proses mengeluarkan emas dilakukan dan bagaimana kualiti Emas yang keluar dari bumi Penjom ini.

Walaupun Lombong Emas Penjom telah terkenal di dunia, masih ramai lagi penduduk penjom yang belum melihat secara dekat bagaimana keadaan di dalam lombong tersebut.

Lawatan ini diharapkan akan memberikan maklumat yang berguna dan mendedahkan teknologi canggih yang digunakan dalam industri lombong pada waktu kini.

Al-Fatihah : Ayahnda Saudara. Asri Ismail (AJK PPU Lipis)


Ketua dan ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO Penjom ingin merakamkan ucapan takziah kepada Saudara. Asri Yahya (AJK Pergerakan Pemuda Bahagian Lipis)kerana ayahndanya yang tercinta telah kembali ke Rahmatullah hari ini.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan digolongkan bersama-sama orang-orang yang beriman. InsyaAllah.

Marilah kita semua menyedekahkan Surah Al-Fatihah.