Wednesday, March 31, 2010

Pemuda Penjom Menyokong Keputusan Kerajaan Pindahkan Lokasi Sambutan Hari Pahlawan


Pergerakan Pemuda UMNO Penjom menyokong penuh langkah kerajaan hari ini yang telah memutuskan Sambutan Hari Pahlawan sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai akan dipindahkan ke Putrajaya.

Ia bagi mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.

Antara Fatwa yang telah diwartakan berkenaan Hari Pahlawan ialah amalan seperti tiupan 'Last Post', bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan 'Rouse' yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

Langkah ini dilihat usaha kerajaan mematuhi nilai-nilai Islam melalui Majlis Fatwa Kebangsaan dan meninggalkan amalan tradisi yang diwarisi sejak zaman penjajah lagi.

Tugu Peringatan Negara atau juga dikenali sebagai Tugu Negara Malaysia disiapkan 8 Februari 1966 sebagai penghormatan kepada lebih 11 ribu perajurit yang gugur jasa-jasa pahlawan yang gugur dalam Perang Dunia I (1914-1918), Perang Dunia II (1935-1942) dan semasa Darurat (1948-1960). Ia terletak di ibu negara, Kuala Lumpur berhampiran dengan bangunan Parlimen.

Pada setiap tahun, satu perbarisan hormat akan diadakan di Tugu Negara. Tugu tersebut menggambarkan sekumpulan tentera mengibar bendera negara, Jalur Gemilang. Setiap patung gangsa tersebut melambangkan pimpinan, getir, persatuan, siap sedia, kekuatan, keberanian, dan pengorbanan.

Dibina pada tahun 1966, tugu tersebut berdiri setinggi 15 meter, diperbuat daripada gangsa dan direka oleh pengukir Austria, Felix de Weldon yang bertanggung jawab bagi Tugu Peringatan Perang USMC (USMC War Memorial) di Virginia, Amerika Syarikat.

Ia pernah diletupkan oleh komunis pada 26 Ogos 1975 yang memusnahkan satu patung besar serta dua kepala patung yang jatuh dari kedudukan asalnya. Ia merupakan usaha komunis bagi melemahkan usaha kerajaan menyemai semangat cintakan negara dan patriotik melalui pembinaan tugu tersebut.

Satu dataran tetap berkeluasan 2-3 ekar akan dibina di Putrajaya sebagai tempat perhimpunan Hari Pahlawan yang menepati kehendak Majlis Fatwa Kebangsaan dan pada masa yang sama dapat memberi gambaran kepada masyarakat tentang pengorbanan dan jasa pahlawan-pahlawan negara.

Bagi menyemarakkan semangat Hari Pahlawan sejak awal lagi, ia juga patut diadakan di peringkat akar bumi bagi menyemai semangat perjuangan di kalangan generasi muda dan pewaris negara masa depan.

Model Ekonomi Baru (MEB) tiada roh - Presiden PAS


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyatakan bahawa Model Ekonomi Baru (MEB) yang dibentangkan oleh kerajaan masih lagi tidak mempunyai roh dan tidak menekankan kepentingan akhlak yang merupakan satu asas terpenting dalam memastikan transparensi dan ketelusan pelaksanaan sesuatu dasar ekonomi.

Menurutnya lagi sesuatu negara boleh sahaja mempunyai dasar yang melangit halatujunya, tetapi tanpa akhlak yang dihayati oleh pembuat dan pelaksana dasar – maka negara masih akan dibelenggu dengan sistem liberal kapitalis – akhirnya ianya hanya bersifat membuat perubahan terhadap kulit dan bukannya bersifat holistik yang merangkumi perkaitan antara dosa-pahala dan keadilan menyeluruh.

Katanya, apa yang diinginkan oleh rakyat bukannya peningkatan angka atau nilai peratusan pendapatan semata-mata, contohnya sasaran bagi meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia daripada AS$7,000 kepada AS$15,000 dalam tempoh 10 tahun; tetapi yang diinginkan ialah kesan sebenar dari perubahan suasana masyarakat yang lebih kondusif dan selamat dari jenayah, sifar rasuah, akauntabiliti yang nyata serta struktur ekonomi yang lebih adil dan jauh dari tekanan politik sempit.


Beliau turut mengatakan bahawa sikap kerajaan persekutuan yang tidak menghormati konsep federalisma dan demokrasi juga akan menjadi bom jangka yang akan menggagalkan kesejahteraan ekonomi rakyat. Apa yang berlaku ialah kerajaan negeri yang mungkin diperintah oleh parti yang berbeza dari parti di peringkat persekutuan akan menerima penindasan ekonomi dan dikekang pelaburan luar dengan semahunya oleh kerajaan persekutuan. Akibatnya objektif kesejahteraan yang ingin dicapai akan hanya menjadi retorik yang sedap didengar sahaja.


Pemuda Penjom : Pembangkang memang kerjanya membangkang !

Pemuda turut main peranan besar dalam kejayaan Model Ekonomi Baru.


Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak telah mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) sebagai satu usaha penting dalam rancangan Transformasi Ekonomi Malaysia.

Lapan inisiatif itu ialah :
• Menyuburkan kembali sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi;
• Membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing;
• Mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing;
• Memperkukuhkan sektor awam;
• Melaksanakan tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran;
• Membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan;
• Meningkatkan sumber pertumbuhan;
• Memastikan pertumbuhan yang mapan.

Perdana Menteri berkata, kesemua lapan inisiatif itu adalah saling melengkapi dan kesannya merentasi semua sektor ekonomi. Berdasarkan laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), 80 peratus daripada tenaga kerja negara hanya berpendidikan setakat kelayakan SPM yang tidak sejajar dengan ekonomi berpendapatan tinggi yang dihasratkan kerajaan.

“Saya bukan saja mahu rakyat mendapat pendapatan lebih baik, mereka juga perlu turut menikmati kehidupan lebih baik.

“Kita mahu melihat Malaysia melakukan lonjakan kuantum daripada pendapatan tahunan per kapita sebanyak AS$7,000 (RM22,931) kepada AS$15,000 (RM49,137) dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, memberi jaminan MEB menjanjikan manfaat kepada semua kaum tanpa mengetepikan kepentingan Bumiputera menerusi matlamat dan pendekatan pertumbuhan yang menyeluruh. Perdana Menteri mengambil masa 75 minit bagi membentangkan ucapan berkaitan Model Ekonomi Baru Persidangan Invest Malaysia. Jangkamasa yang dilihat panjang ini menunjukkan betapa pentingnya kita sebagai Pemuda memahami serta menghayati strategi, polisi dan langkah yang perlu diambil.
Kita mungkin terfikir bagaimana sasaran untuk menggandakan pendapatan tahunan per kapita individu sebanyak AS$7,000 (RM22,931) kepada AS$15,000 (RM49,137) dalam tempoh 10 tahun dengan wujudnya MEB ini.

Bagaimana ini boleh berlaku? Ia akan berlaku apabila pelaburan yang cukup dari sektor swasta, modal insane yang berkualiti,penambahbaikan daya saing dan produktiviti, sektor awam yang memudahkan serta teknologi berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Kembali kepada Laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) yang menyatakan 80 peratus daripada tenaga kerja negara hanya berpendidikan setakat kelayakan SPM yang tidak sejajar dengan ekonomi berpendapatan tinggi yang dihasratkan kerajaan dalam tempoh 10 tahun kehadapan ini, marilah kita melengkapkan diri kita dengan kemahiran tinggi, kebolehan berinovasi dan kepelbagaian kemahiran yang secara automatiknya membuka peluang kepada pendapatan yang lebih tinggi.

Realitinya ialah, bakal majikan tidak akan mudah-mudah untuk membayar harga yang tinggi bagi hasil yang tidak padan dengan gaji yang diberi.
Banyak aspek yang boleh disentuh dalam Model Ekonomi Baru ini, namun sebagai komponen besar dalam rakyat Malaysia peranan dalam meningkatkan pelbagai kemahiran dalam diri individu untuk meninggikan pendapatan bukanlah satu perkara yang mustahil untuk dilakukan oleh PEMUDA PENJOM.

Wednesday, March 3, 2010

Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil di Pusara Allahyarham Tun Ghazali Shafie-Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.



Pergerakan Pemuda UMNO Penjom dengan kerjasama Ahli Parlimen Lipis, YB Dato' Dr. Mohamad Shahrum bin Osman telah menganjurkan Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil di Pusara Negarawan Malaysia Allahyarham Tun Muhammad Ghazali bin Shafie.

Program yang telah berlangsung pada 27 Februari 2010 (Sabtu) yang lalu telah disertai seramai 200 orang terdiri daripada wakil-wakil dari Cawangan UMNO dari DUN Padang Tengku, Dun Cheka dan DUN Benta. Turut hadir ialah anak-anak kelahiran Kuala Lipis yang tinggal di ibukota.

Program dimulakan dengan bacaan surah Yassin dan tahlil arwah yang diketuai oleh Ustaz Ab. Lah bin Mat Isa yang juga merupakan Penghulu Mukim Cheka 1, Kuala Lipis. Selepas tahlil, anggota rombongan dijamu dengan jamuan makan tengahari.

Dalam satu majlis ringkas yang diadakan selepas makan tengahari, Y.Bhg Datin Yuhani binti Shafie (iaitu adik kandung kepada Allahyarham Tun) dalam ucapannya telah merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada rombongan dari Lipis yang bersusah-payah mengambil usaha untuk mengadakan majlis tahlil pada hari ini.

Dalam nada sebak, beliau turut berkongsi kisah bagaimana pada sewaktu hayat Allahyarham Tun Ghazali Shafie begitu berhasrat untuk disemadikan disebelah pusara ayah dan bondanya di Batu 2, Kuala Lipis. Walaubagaimanapun, atas permintaan YAB Dato' Sri Najib-Perdana Menteri Malaysia, jasad Allahyarham telah disemadikan di Makam Pahlawan, Kuala Lumpur.

Y.Bhg En. Mustapa Haji Long-Naib Ketua UMNO Bahagian Lipis mewakili UMNO Bahagian juga turut merakamkan ucapan penghargaan kepada ahli-ahli rombongan dan Pemuda UMNO Penjom yang mengambil inisiatif yang dilihat satu usaha patriotik dalam mengenang jasa seorang Negarawan yang berasal dari Daerah Lipis. Menurutnya lagi UMNO Bahagian Lipis sedang berusaha untuk mengabadikan nama Allahyarham Tun Ghazali Shafie di MRSM Lipis sebagai satu langkah supaya nama Tun Ghazali Shafie terus dikenang sepanjang zaman.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Penjom, Khairul Nizam Dato' Abu Dahari dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih kepada keluarga Allahyarham Tun Ghazali Shafie yang turut hadir pada majlis tersebut, kepimpinan UMNO Bahagian, Ahli Parlimen Lipis-Dato' Dr. Shahrum Osman, Pejabat Menteri Pelajaran dan Pejabat Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang turut memberi sokongan dalam penganjuran program kali ini.