Tuesday, October 15, 2013

Aidiladha : Pemuda UMNO hayati semangat berkorban

Pemuda UMNO Penjom mengambil bahagian dalam menjalankan ibadah korban pada Selasa,15 Oktober 2013 bertempat di perkarangan Masjid Batu 6 Penjom, Kuala Lipis bermula dari jam 9.30 pagi hingga 3.00 petang. Sebanyak 10 ekor lembu telah dikorbankan.
 
Pemuda UMNO telah menjalankan peranan menyembelih lembu, memasak dan mengagihkan kepada mereka yang layak.
 
Semoga semangat ini akan berterusan pada masa akan datang. InsyaAllah. 

Ahli Pemuda UMNO Penjom bergotong royong menguruskan ternakan sembelihan.

Sesi Sembang Teh Tarik Bersama Ketua Pemuda

Satu sesi minum teh tarik telah diadakan pada 14 Oktober 2013 bersama Ketua Pemuda yang baru dipilih oleh Perwakilan Bahagian Lipis-Sdra Mohd Farid bin Mohd Nor. 

Tujuan sesi teh tarik ini ialah untuk mengucapkan terima kasih kepada perwakilan pemuda Cawangan Penjom yang memberikan kepercayaan kepada beliau.

Dalam masa yang sama, sesi ini bertujuan untuk mendapatkan serta pandangan akar umbi berkenaan hal tuju Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian selepas in

Saturday, October 12, 2013

Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Lipis

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Penjom telah menghadiri Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lipis, Pahang yang telah diadakan pada Sabtu,12 Oktober 2013 bertempat di Hotel Lipis Centrepoint, Kuala Lipis.

Pengerusi Tetap Mengangkat Sumpah sebelum mengendalikan Persidangan


Seramai 4 orang perwakilan pemuda telah hadir diketuai Azrul Khairi Muhamad (Ketua), Sharif Omar (Naib), Jaziratul (Bendahari) dan Sabarudin (AJK).

Dalam persidangan kali ini, perwakilan berpeluang untuk memilih kepimpinan pemuda peringkat Bahagian dan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.


Menyanyikan Lagu Rasmi UMNO

Ini merupakan kali pertama parti UMNO memberikan peluang kepada ahli akar umbi untuk memilih pimpinan di peringkat Bahagian dan seterusnya di peringkat pusat. Peluang untuk memilih pemimpin ini telah digunakan sebaik-baiknya oleh perwakilan Pemuda UMNO Penjom.

Persidangan ini juga membuka ruang kepada perwakilan untuk beramah mesra dengan kepimpinan pemuda UMNO di Cawangan lain dan juga kepimpinan UMNO Bahagian.

Bersama Naib Ketua UMNO Bahagian Lipis, YH. Dato' Mustapa bin Haji Long
Dalam pemilihan kali ini, Saudara. Mohd Farid bin Mohd Nor telah dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian dan Saudara. Afizal bin Ahmad Pahmin sebagai Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lipis.

Dua orang calon Ketua Pemuda : Mohd Farid bin Mohd Nor dan Khairul Amri bin Dato' Amirhamzah

Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Penjom di Persidangan Pemuda UMNO Bahagian Lipis, Pahang.

Friday, October 11, 2013

Calon KP Lipis : Farid Mohd Nor-Permata Yang Bersinar !


Proses untuk memilih pemimpin pergerakan Pemuda UMNO di peringkat Bahagian hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi. Namun, dalam kesempatan ringkas ini, saya ingin berkongsi pengalaman peribadi bersama Calon Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lipis-Saudara Mohd Farid bin Mohd Nor.

Apabila Farid membuat keputusan untuk menawarkan diri untuk berkhidmat sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lipis dalam Pemilihan kali ini, saya anggap itu satu keputusan yang berani dan tepat. Pandangan saya, ini satu platform untuk beliau mengasah bakat kepimpinan dan mencurah pengalaman dia untuk memimpin.

Mengenali beliau sejak di kampus lagi, beliau antara pemimpin kanan pelajar yang membawa kumpulan mahasiswa yang menyokong kerajaan bertanding dalam pilihanraya kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan dari Kuliah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar ini memang diminati oleh rakan-rakan di kampus menjadikan beliau terpilih mewakili suara pelajar Kuliah /Fakulti Senibina dalam Majlis Perwakilan Pelajar UIAM.


Diberi tanggungjawab besar sebagai Timbalan Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa dan Integrasi Pelajar



Prihatin isu-isu antarabangsa bersama Majlis Belia Malaysia (MBM). Farid bersama Sdra. Norizan Sharif (Setiausaha Agung MBM) ketika itu.


Tidak segan silu memohon derma daripada orang ramai di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR) untuk mangsa keganasan perang antarabangsa.

Minat yang tinggi terhadap ilmu pengetahuan dan dasar-dasar kerajaan menjadikan chemistry persahabatan saya dengan beliau semakin tinggi. Saya sering berkongsi pendapat tentang buku-buku yang beliau minat dan mengulas artikel-artikel ilmiah terutama yang diterbitkan dalam akhbar terutama Utusan Malaysia yang menarik minatnya.
 Siri Wacana Ilmu di Akademi Pemuda UMNO menjadi rutin Farid setiap minggu. Program bersama Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin-Timbalan Menteri Pelajaran ketika itu dan Dato' Dr Zambri Kadir selaku Moderator (sekarang Menteri Besar Perak)
 

Minat kepada perjuangan parti, menjadikan beliau sering berulang-alik ke Akademi Pemuda UMNO yang ketika itu di Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur bagi menghadiri pelbagai aktiviti parti seperti seminar, bengkel dan sesi sembang bersama tokoh.

Kekaguman kepada tokoh-tokoh parti juga menjadikan beliau cukup menghargai nilai-nilai luarbiasa yang menjadi panduan kepada corak kepimpinannya. Saya masih ingat keghairahan beliau menghadiri Pameran Fotografi Tun Mahathir Mohamad di Balai Seni Lukis Negara (sekarang Balai Seni Visual Negara). Beliau dengan penuh teliti menceritakan sejarah setiap foto yang dipamerkan dan mengaitkan dengan nilai kepimpinan Tun Mahathir. Saya rasa dia seorang yang begitu menghargai nilai dan ketertiban dalam proses kepimpinan.

Pameran foto Seribu Wajah di Balai Seni Lukis Negara. Minat yang sangat teliti.

Kecintaan yang tinggi kepada tokoh pemimpin parti. Pameran Foto Seribu Wajah Dr. Mahathir di Balai Seni Lukis Negara, Oktober 2010.

Sebagai manusia, tentulah kita berbeza citarasa. Ini termasuklah dalam minat peribadi terhadap pemimpin dalam parti. Walaupun, saya kadangkala berbeza pendapat....beliau meraikan pandangan dan memberi ruang kepada saya untuk memberi pendapat dan idea. Ini menunjukkan sifat sebenar keterbukaan beliau dalam bersahabat dan memimpin.

Semangat patriotik beliau pada tempat kelahirannya memanglah dikenali rakan-rakan di kampus dan rakan-rakan sekerja. Dari soal makanan hinggalah soal komunikasi dengan kawan-kawan. Sahabat saya dari Kedah diajar menggunakan perkataan 'aok' (ganti nama awak) dalam perbualan seharian.....akhirnya rakan-rakan dalam lingkungan (circle) beliau banyak menggunakan loghat Lipis berbanding bahasa ibunda mereka sendiri.

Ini belum bercerita lagi tentang pelbagai impian beliau untuk menjadikan Lipis dan generasi pelapis muda mencipta zaman kegemilangan di Daerah yang pernah menjadi Ibu Negeri Pahang satu ketika dulu.

Buat rakan-rakan Perwakilan di Bahagian Lipis, mohlah kita meluangkan masa  berfikir seketika bagi mempertimbangkan ruang kepada Saudara Farid Mohd Nor untuk memberi khidmat sebagai Ketua dalam gerakan Pemuda UMNO di Bahagian Lipis.

InsyaAllah dengan izin Allah dan berkatnya, mudah-mudahan Saudara Farid dan  barisan kepimpinannya akan berbakti kepada warga bangsa Melayu melalui parti UMNO-parti harapan dan denyut nadi rakyat.


Memberi pandangan dan idea dalam pertemuan khas bersama YAB Menteri Besar Pahang di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang, Kuantan sekitar tahun 2010

Pilih pemimpin biar yang bijak
Tindak-tanduknya jarang terlajak

Pilih pemimpin biar yang bijak
Fikirannya jitu tidak merojak

Pilih pemimpin biar yang bijak
Tidak menindas tidak memijak

Pilih pemimpin biar yang bijak
Cakapnya tetap jarang menganjak

Pilih pemimpin biar yang bijak
Banyak gunanya bagaikan tajak

Pilih pemimpin biar yang bijak
Bahasanya mulus bagaikan sajak

Pilih pemimpin biar yang bijak
Mengumpul harta tidak membajak

Pilih pemimpin biar yang bijak
Bahasa dijaga budaya dijejak

Pilih pemimpin biar yang bijak
Budaya bangsa tidak dipajak

Pilih pemimpin biar yang bijak
Tersalah pilih kepala ditinjak



(Penulis kini merupakan Setiausaha Agung, Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), sebuah badan induk utama Belia di Pahang. Merupakan bekas Presiden Majlis Mahasiswa Anak-Anak Pahang (MAMPAN) dan aktivis mahasiswa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak bersama-sama Saudara. Farid. Pernah bertugas sebagai Setiausaha Sulit kepada Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Beliau sekarang bertugas sebagai Pengurus Komunikasi Korporat, Mentiga Corporation Berhad-sebuah anak syarikat milik Kerajaan Negeri Pahang)

Diari 2013 : Majlis Makan Malam Anugerah Belia Negara Peringkat Negeri Pahang.

Menteri Besar merakamkan kenangan dengan penerima anugerah belia.
 
Pergerakan Pemuda UMNO Penjom menghantar wakil ke Majlis Makan Malam Anugerah Belia Negara Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung pada 10 Oktober 2013 jam 8.00 malam di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan.

Majlis ini dirasmikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang-Dato' Sri Diraja Haji Adnan bin Haji Yaakob-Menteri Besar Pahang.

Dalam ucapan perasmiannya, YAB Menteri Besar menegaskan pentingnya golongan muda menyertai gerakan belia sebagai platform latihan sebelum menjadi pemimpin di peringkat tempatan dan kebangsaan. Pengalaman beliau sendiri mengasah bakat kepimpinan melalui Persatuan Belia Bersatu Bentong (PBBB) di peringkat kampung sebelum menyertai Gerakan Belia 4B di peringkat Daerah.

Dalam majlis itu, Kerajaan Negeri menyampaikan anugerah kepada beberapa kategori yang dipertandingkan dan menyampaikan sumbangan khas RM10,000.00 kepada setiap Majlis Belia Daerah (MBD) di Negeri ini.

Wednesday, October 9, 2013

Diari 2013 : Persidangan UMNO Cawangan Penjom

Persidangan UMNO Cawangan Penjom diadakan pada 07 September 2013 (Sabtu) bermula jam 3.00 petang di Balairaya RPSB Kg. Pagar, Penjom.

Turut diadakan pemilihan kepimpinan baru UMNO Cawangan dan memilih perwakilan cawangan ke Persidangan UMNO Bahagian.

Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Penjom.

Pergerakan Pemuda UMNO Penjom telah mengadakan Persidangan Pergerakan Pemuda UMNO pada 06 September 2013 jam 9.00 malam bertempat di Dataran Futsal Kg. Pagar, Penjom, Kuala Lipis.

Mesyuarat dihadiri oleh ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Penjom.

Turut hadir wakil dari UMNO Bahagian Lipis Cikgu Shahnam Rashid, Setiausaha Kerja UMNO Bahagian-Amir Marwan dan Pemantau Pemilihan Cawangan, Saudara Ijat.

Dalam masa yang sama, Calon Ketua Pemuda yang bakal bertanding- Khairul Amri bin Dato' Amiruddin dan Mohd Farid bin Mohd turut diberi peluang untuk bercakap dengan hadirin yang hadir.

Pemilihan Ketua Pemuda UMNO Cawangan berlangsung dengan harmoni dan kesepakatan apabila Saudara Khairul Nizam Dato' Abu Dahari melepaskan jawatan Ketua Pemuda kepada Azrul Khairi bin Muhamad dengan tujuan untuk memberi ruang latihan kepada generasi kepimpinan muda.

Tuesday, July 3, 2012

Memimpin Tanpa Apa-Apa Jawatan

Seorang penulis buku yang juga pakar pengurusan menulis dalam bukunya yang bertajuk "Lead Without Title". Antara intipati utama buku ini ialah menyeru supaya setiap individu memainkan peranan sebagai seorang pemimpin walaupun tidak mempunyai sebarang jawatan dalam persatuan atau parti.

Kepimpinan adalah merupakan attitude atau sikap. Ia tidak berkisar kepada jawatan yang dipegang. Dalam banyak keadaan, ada orang yang memegang jawatan tetapi tidak menunjukkan tauladan dan kepimpinan yang baik.

Secara ringkasnya, kita semua boleh memainkan peranan dan belajar menggunakan skills atau kepimpinan masing-masing tanpa menunggu pihak Kerajaan, Persatuan dan Parti untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pemimpin.

Buatlah apa sahaja yang boleh membawa perubahan bermula daripada perkara-perkara yang kecil hinggalah kepada perkara yang besar.

Sebagai contoh, jika anda melihat padang bola sepak atau padang futsal di kampung yang ditumbuhi semak-samun serta kotor. Mulakanlah langkah dengan mengajak 2-3 orang sahabat untuk membersihkannya tanpa menunggu surat jemputan gotong-royong ataupun peruntukkan khas dari JKKK untuk menganjurkan acara membersihkan kampung. Banyak-banyak lagi perkara yang anda boleh lakukan dan mereka memerlukan sentuhan kepimpinan dari anda.

Mulakan hari ini dan InsyaAllah anda akan rasai kepuasan serta kemanisan "Memimpin Tanpa Jawatan".

Permohonan Jawatan Polis Diraja Malaysia

Sukacita dimaklumkan bahawa permohonan bagi jawatan di dalam Polis DiRaja Malaysia PDRM) juga boleh dibuat secara online melalui Portal Rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) mulai 20 Mac 2012 yang lalu.

Ini adalah kerana SPA telah berkongsi kepakaran pelaksanaan aplikasi eSMSM dengan Suruhanjaya Pasukan Polis untuk permohonan jawatan. Ia juga adalah selaras dengan hasrat SPA untuk bekerjasama dan mewujudkan amalan perkongsian pintar antara agensi kerajaan yang mempunyai kepakaran dalam bidang IT serta berkongsi pengalaman dengan agensi lain khususnya dalam bidang ICT.

Untuk makluman, SPA hanyalah menguruskan urusan permohonan sahaja manakala perjawatan/urusan pengambilan adalah diuruskan oleh PDRM sendiri. Oleh yang demikian, segala pertanyaan mengenai perjawatan/urusan pengambilan hendaklah dirujuk dengan pihak PDRM di Portal PDRM www.rmp.gov.my.

Friday, April 2, 2010

Salahkan untuk mempertahankan baki hak yang ada?




Pembangkang mula memainkan kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali yang berang dan marah ketika diajukan soalan berhubung Dasar Ekonomi Baru (DEB) dalam wawancaranya dengan Al Jazeera.

Dalam Video di atas, wartawan Al Jazeera mengajukan soalan berhubung DEB yang didakwa bersifat perkauman.

Sebaik mendengar dakwaan itu, Ibrahim terus berang dan marah serta berkata berulang kali berkata: "Jika bangsa-bangsa asing ini mendakwa mereka rakyat kelas kedua, 'don't talk s**t! Don't talk s**t!' Saya ulang untuk kali ketiga, 'don't talk s**t!”

"Kami bangsa Melayu telah banyak maafkan mereka, malah kami juga berkorban kepentingan kami," kata Dato' Ibrahim Ali.

Rencana Al Jazeera itu melaporkan ramai rakyat Malaysia berpendidikan tinggi meninggalkan negara ini kerana dasar-dasar diskriminasi melaui DEB.

Antara yang dipaparkan ialah Shirlene Ong yang telah menetap selama enam tahun di Hong Kong.

“Saya tidak akan pulang ke Malaysia dalam masa terdekat ini. Apa yang mungkin membuat saya menukar pendirian ialah apabila semua rakyat Malaysia dilayan secara saksama," katanya.

Turut diwawancara dalam laporan itu ialah penganalis politik Malaysia, Farish Noor yang mendakwa kebebasan akademik tidak wujud di Malaysia dan kini menjadi pensyarah di Singapura.

Persoalan asasnya,adakah apa yang dikatakan oleh Datuk Ibrahim Ali itu merupakan auta atau fakta yang sememangnya tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak. Semua sedia maklum tentang Hak Keistimewaan Orang Melayu.

Orang melayu tidak pernah menyesal dengan apa yang telah mereka korbankan. Orang melayu juga mengakui hakikat kelebihan kaum lain dalam bidang-bidang tertentu. Orang melayu juga mengakui hakikat tidak harus wujud peminggiran dan diskriminasi kaum di dalam sebuah negara yang demokratik dan bebas.

Orang melayu juga terlebih-lebih faham bahawa kaum cina dan India juga adalah sebahagian dari warganegara Malaysia. Orang melayu memang kaum yang amat memahami dan paling bertolarensi. Orang melayu telah buktikannya dari dulu lagi. Orang melayu juga ingin lihat kaum lain bersedia untuk berkorban dan bertolarensi seperti mereka demi membina sebuah negara yang berjaya.

Apa yang orang melayu lakukan hari ini, hanyalah mempertahankan baki hak keistimewaan yang masih ada, kerana keistimewaan selebihnya telah pun diserah dan sebahagian lagi telah dikongsi bersama dengan kaum lain. Orang melayu 'melakukan pengorbanan' ke atas sebahagian hak-hak mereka agar dapat dikongsi bersama dengan adil dan seimbang dalam pembinaan sebuah negara.

Pemimpin kaum cina dan India terus menerus'melakukan tuntutan’ agar kekayaan dan segala hak-hak yang ada sebagai rakyat diberi secara adil dan samarata.

‘Melakukan pengorbanan’ dan ‘melakukan tuntutan’ dalam membina negara adalah dua perjuangan yang sama sekali berbeza seperti langit dan bumi. Jadi salahkah kita untuk mempertahankan hak kita? Marilah kita fikirkan bersama.