Wednesday, March 31, 2010

Pemuda Penjom Menyokong Keputusan Kerajaan Pindahkan Lokasi Sambutan Hari Pahlawan


Pergerakan Pemuda UMNO Penjom menyokong penuh langkah kerajaan hari ini yang telah memutuskan Sambutan Hari Pahlawan sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai akan dipindahkan ke Putrajaya.

Ia bagi mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.

Antara Fatwa yang telah diwartakan berkenaan Hari Pahlawan ialah amalan seperti tiupan 'Last Post', bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan 'Rouse' yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.

Langkah ini dilihat usaha kerajaan mematuhi nilai-nilai Islam melalui Majlis Fatwa Kebangsaan dan meninggalkan amalan tradisi yang diwarisi sejak zaman penjajah lagi.

Tugu Peringatan Negara atau juga dikenali sebagai Tugu Negara Malaysia disiapkan 8 Februari 1966 sebagai penghormatan kepada lebih 11 ribu perajurit yang gugur jasa-jasa pahlawan yang gugur dalam Perang Dunia I (1914-1918), Perang Dunia II (1935-1942) dan semasa Darurat (1948-1960). Ia terletak di ibu negara, Kuala Lumpur berhampiran dengan bangunan Parlimen.

Pada setiap tahun, satu perbarisan hormat akan diadakan di Tugu Negara. Tugu tersebut menggambarkan sekumpulan tentera mengibar bendera negara, Jalur Gemilang. Setiap patung gangsa tersebut melambangkan pimpinan, getir, persatuan, siap sedia, kekuatan, keberanian, dan pengorbanan.

Dibina pada tahun 1966, tugu tersebut berdiri setinggi 15 meter, diperbuat daripada gangsa dan direka oleh pengukir Austria, Felix de Weldon yang bertanggung jawab bagi Tugu Peringatan Perang USMC (USMC War Memorial) di Virginia, Amerika Syarikat.

Ia pernah diletupkan oleh komunis pada 26 Ogos 1975 yang memusnahkan satu patung besar serta dua kepala patung yang jatuh dari kedudukan asalnya. Ia merupakan usaha komunis bagi melemahkan usaha kerajaan menyemai semangat cintakan negara dan patriotik melalui pembinaan tugu tersebut.

Satu dataran tetap berkeluasan 2-3 ekar akan dibina di Putrajaya sebagai tempat perhimpunan Hari Pahlawan yang menepati kehendak Majlis Fatwa Kebangsaan dan pada masa yang sama dapat memberi gambaran kepada masyarakat tentang pengorbanan dan jasa pahlawan-pahlawan negara.

Bagi menyemarakkan semangat Hari Pahlawan sejak awal lagi, ia juga patut diadakan di peringkat akar bumi bagi menyemai semangat perjuangan di kalangan generasi muda dan pewaris negara masa depan.

Model Ekonomi Baru (MEB) tiada roh - Presiden PAS


Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyatakan bahawa Model Ekonomi Baru (MEB) yang dibentangkan oleh kerajaan masih lagi tidak mempunyai roh dan tidak menekankan kepentingan akhlak yang merupakan satu asas terpenting dalam memastikan transparensi dan ketelusan pelaksanaan sesuatu dasar ekonomi.

Menurutnya lagi sesuatu negara boleh sahaja mempunyai dasar yang melangit halatujunya, tetapi tanpa akhlak yang dihayati oleh pembuat dan pelaksana dasar – maka negara masih akan dibelenggu dengan sistem liberal kapitalis – akhirnya ianya hanya bersifat membuat perubahan terhadap kulit dan bukannya bersifat holistik yang merangkumi perkaitan antara dosa-pahala dan keadilan menyeluruh.

Katanya, apa yang diinginkan oleh rakyat bukannya peningkatan angka atau nilai peratusan pendapatan semata-mata, contohnya sasaran bagi meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia daripada AS$7,000 kepada AS$15,000 dalam tempoh 10 tahun; tetapi yang diinginkan ialah kesan sebenar dari perubahan suasana masyarakat yang lebih kondusif dan selamat dari jenayah, sifar rasuah, akauntabiliti yang nyata serta struktur ekonomi yang lebih adil dan jauh dari tekanan politik sempit.


Beliau turut mengatakan bahawa sikap kerajaan persekutuan yang tidak menghormati konsep federalisma dan demokrasi juga akan menjadi bom jangka yang akan menggagalkan kesejahteraan ekonomi rakyat. Apa yang berlaku ialah kerajaan negeri yang mungkin diperintah oleh parti yang berbeza dari parti di peringkat persekutuan akan menerima penindasan ekonomi dan dikekang pelaburan luar dengan semahunya oleh kerajaan persekutuan. Akibatnya objektif kesejahteraan yang ingin dicapai akan hanya menjadi retorik yang sedap didengar sahaja.


Pemuda Penjom : Pembangkang memang kerjanya membangkang !

Pemuda turut main peranan besar dalam kejayaan Model Ekonomi Baru.


Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak telah mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) sebagai satu usaha penting dalam rancangan Transformasi Ekonomi Malaysia.

Lapan inisiatif itu ialah :
• Menyuburkan kembali sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi;
• Membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing;
• Mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing;
• Memperkukuhkan sektor awam;
• Melaksanakan tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran;
• Membina infrastruktur yang berasaskan pengetahuan;
• Meningkatkan sumber pertumbuhan;
• Memastikan pertumbuhan yang mapan.

Perdana Menteri berkata, kesemua lapan inisiatif itu adalah saling melengkapi dan kesannya merentasi semua sektor ekonomi. Berdasarkan laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), 80 peratus daripada tenaga kerja negara hanya berpendidikan setakat kelayakan SPM yang tidak sejajar dengan ekonomi berpendapatan tinggi yang dihasratkan kerajaan.

“Saya bukan saja mahu rakyat mendapat pendapatan lebih baik, mereka juga perlu turut menikmati kehidupan lebih baik.

“Kita mahu melihat Malaysia melakukan lonjakan kuantum daripada pendapatan tahunan per kapita sebanyak AS$7,000 (RM22,931) kepada AS$15,000 (RM49,137) dalam tempoh 10 tahun,” katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, memberi jaminan MEB menjanjikan manfaat kepada semua kaum tanpa mengetepikan kepentingan Bumiputera menerusi matlamat dan pendekatan pertumbuhan yang menyeluruh. Perdana Menteri mengambil masa 75 minit bagi membentangkan ucapan berkaitan Model Ekonomi Baru Persidangan Invest Malaysia. Jangkamasa yang dilihat panjang ini menunjukkan betapa pentingnya kita sebagai Pemuda memahami serta menghayati strategi, polisi dan langkah yang perlu diambil.
Kita mungkin terfikir bagaimana sasaran untuk menggandakan pendapatan tahunan per kapita individu sebanyak AS$7,000 (RM22,931) kepada AS$15,000 (RM49,137) dalam tempoh 10 tahun dengan wujudnya MEB ini.

Bagaimana ini boleh berlaku? Ia akan berlaku apabila pelaburan yang cukup dari sektor swasta, modal insane yang berkualiti,penambahbaikan daya saing dan produktiviti, sektor awam yang memudahkan serta teknologi berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Kembali kepada Laporan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) yang menyatakan 80 peratus daripada tenaga kerja negara hanya berpendidikan setakat kelayakan SPM yang tidak sejajar dengan ekonomi berpendapatan tinggi yang dihasratkan kerajaan dalam tempoh 10 tahun kehadapan ini, marilah kita melengkapkan diri kita dengan kemahiran tinggi, kebolehan berinovasi dan kepelbagaian kemahiran yang secara automatiknya membuka peluang kepada pendapatan yang lebih tinggi.

Realitinya ialah, bakal majikan tidak akan mudah-mudah untuk membayar harga yang tinggi bagi hasil yang tidak padan dengan gaji yang diberi.
Banyak aspek yang boleh disentuh dalam Model Ekonomi Baru ini, namun sebagai komponen besar dalam rakyat Malaysia peranan dalam meningkatkan pelbagai kemahiran dalam diri individu untuk meninggikan pendapatan bukanlah satu perkara yang mustahil untuk dilakukan oleh PEMUDA PENJOM.

Wednesday, March 3, 2010

Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil di Pusara Allahyarham Tun Ghazali Shafie-Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.



Pergerakan Pemuda UMNO Penjom dengan kerjasama Ahli Parlimen Lipis, YB Dato' Dr. Mohamad Shahrum bin Osman telah menganjurkan Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil di Pusara Negarawan Malaysia Allahyarham Tun Muhammad Ghazali bin Shafie.

Program yang telah berlangsung pada 27 Februari 2010 (Sabtu) yang lalu telah disertai seramai 200 orang terdiri daripada wakil-wakil dari Cawangan UMNO dari DUN Padang Tengku, Dun Cheka dan DUN Benta. Turut hadir ialah anak-anak kelahiran Kuala Lipis yang tinggal di ibukota.

Program dimulakan dengan bacaan surah Yassin dan tahlil arwah yang diketuai oleh Ustaz Ab. Lah bin Mat Isa yang juga merupakan Penghulu Mukim Cheka 1, Kuala Lipis. Selepas tahlil, anggota rombongan dijamu dengan jamuan makan tengahari.

Dalam satu majlis ringkas yang diadakan selepas makan tengahari, Y.Bhg Datin Yuhani binti Shafie (iaitu adik kandung kepada Allahyarham Tun) dalam ucapannya telah merakamkan ucapan setinggi penghargaan kepada rombongan dari Lipis yang bersusah-payah mengambil usaha untuk mengadakan majlis tahlil pada hari ini.

Dalam nada sebak, beliau turut berkongsi kisah bagaimana pada sewaktu hayat Allahyarham Tun Ghazali Shafie begitu berhasrat untuk disemadikan disebelah pusara ayah dan bondanya di Batu 2, Kuala Lipis. Walaubagaimanapun, atas permintaan YAB Dato' Sri Najib-Perdana Menteri Malaysia, jasad Allahyarham telah disemadikan di Makam Pahlawan, Kuala Lumpur.

Y.Bhg En. Mustapa Haji Long-Naib Ketua UMNO Bahagian Lipis mewakili UMNO Bahagian juga turut merakamkan ucapan penghargaan kepada ahli-ahli rombongan dan Pemuda UMNO Penjom yang mengambil inisiatif yang dilihat satu usaha patriotik dalam mengenang jasa seorang Negarawan yang berasal dari Daerah Lipis. Menurutnya lagi UMNO Bahagian Lipis sedang berusaha untuk mengabadikan nama Allahyarham Tun Ghazali Shafie di MRSM Lipis sebagai satu langkah supaya nama Tun Ghazali Shafie terus dikenang sepanjang zaman.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Penjom, Khairul Nizam Dato' Abu Dahari dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih kepada keluarga Allahyarham Tun Ghazali Shafie yang turut hadir pada majlis tersebut, kepimpinan UMNO Bahagian, Ahli Parlimen Lipis-Dato' Dr. Shahrum Osman, Pejabat Menteri Pelajaran dan Pejabat Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang turut memberi sokongan dalam penganjuran program kali ini.

Tuesday, January 5, 2010

HARI KELUARGA PERSATUAN BELIA PENJOM 2010


Hari keluarga Persatuan Belia Penjom ini dianjurkan bagi memberi peluang kepada semua ahli beramah mesra dan meluahkan pendapat bagi memantapkan lagi persatuan ini. Dengan tema santai, program yang pertama kali diadakan secara rasmi ini dibuka penyertaan kepada semua. Maklumat lanjut mengenai program ini adalah seperti di bawah:

Tarikh : 30 Januari 2010
Tempat : Lata Jarum,Raub,Pahang
Masa : 8.00 Pagi Hingga 6.00 Petang

Selain mandi dan berehat, turut disediakan aktiviti sampingan seperti BBQ,karaoke,sukan air dan lain-lain lagi. Yuran penyertaan bagi yang ingin menyertai program ini adalah, RM 10 (bawah 18 tahun) dan RM 20 (18 tahun & ke atas).

Bagi sesiapa yang berminat menyertai program ini boleh mendapatkan maklumat lanjut, mendaftar penyertaan dan membuat bayaran kepada jawatankuasa program seperti di bawah;
1)Sarif Bin Omar (019-9521202)
2)Norsazali Salleh
3)Zaidi Yahaya (017-2195485)Kedai Bundle Penjom.

Diharapkan tahun 2010 ini Persatuan Belia Penjom akan lebih mantap dan akan meneruskan kesinambungan kegemilangannya dan menjadikan aktiviti berpesatuan satu keseronokan bagi golongan belia dan beliawanis bagi memacu pembangunan negara.

Friday, January 1, 2010

Takziah : Tan Sri Mohamed Rahmat


Pergerakan Pemuda UMNO Penjom ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Bekas Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Mohamed Rahmat yang telah kembali ke rahmatullah pagi ini ketika tidur di kediaman beliau, Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Difahamkan Allahyarham menghidap penyakit buah pinggang sejak 10 tahun yang lalu.

Menyorot kembali penglibatan Allahyarham dalam dunia politik bermula dengan menyertai UMNO sejak 1963 dan terpilih menjadi ahli parlimen Johor Baru Barat (Pulai) dalam Pilihan Raya Umum 1969.

Mohamed Rahmat telah dilantik sebagai Menteri Penerangan Malaysia (1978-1982) dan sebelum itu pernah menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO. Atas kapasiti sebagai Menteri Penerangan, beliau juga dilantik sebagai Setuausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung Barisan Nasional.

Dalam kerajaan, beliau menjadi Menteri Penerangan Malaysia dua kali kerana ketokohan dan kebolehan beliau dalam mempengaruhi pendengar iaitu dari 1978-1982 sebelum digantikan oleh Dato Seri Mohd Adib Mohamad Adam dari Melaka. Selepas itu, Allahyarham Mohamed Rahmat dilantik sebagai Duta berstatus menteri ke Jakarta, Indonesia pada 1982.

Kemudiannya beliau dilantik semula sebagai Menteri Penerangan dari tahun 1987-1999 kerana kesetiaan dan kebolehan beliau.

Dato Mohamed Rahmat telah menulis sebuah buku bertajuk ‘Umno: Akhir Sebuah Impian’

Sesungguhnya sumbangan beliau kepada Negara tidak ternilai. Justeru, sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah ke atas Allahyarham dan semoga roh beliau ditempatkan bersama orang-orang yang beriman – Al-Fatihah.

Tuesday, December 29, 2009

Rintihan Rakyat : Bas Pahang Lin Siong



"PERKHIDMATAN bas Pahang Lin Siong sangat teruk. Bas selalu lambat dan tidak tentu masa. Harap pihak berkenaan pantau masalah ini dan cari jalan untuk mengatasinya"

Begitulah rintihan rakyat yang dihantar ke ruangan interaktif akhbar Sinar Harian hari ini. Agaknya beliau sudah tidak tahu hendak mengadu kepada siapa lagi bagi mengambarkan kekecewaanya terhadap perkhidmatan bas Pahang Lin Siong yang telah menjalankan khidmat hampir berdekad lamanya.

Secara mudahnya, pengguna bas adalah golongan yang tidak mempunyai kenderaan sendiri dan berpendapatan rendah. Kerana tiada pilihan lain, hanya pengangkutan awam sahajalah yang menjadi tempat bergantung harap bagi bergerak dari satu destinasi ke satu destanasi yang lain.

Semasa Bajet 2009, Kerajaan telah mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk merancang, mengintegrasi, mengawal selia dan memajukan sistem pengangkutan awam negara. Suruhanjaya ini dijangka memulakan operasi pada tahun 2010.

Adalah diharapkan kerajaan serius bagi membangunkan isu pengangkutan awam khususnya di luar bandar yang majoriti penggunanya adalah golongan rakyat yang kurang berkemampuan.

Keadaan fizikal bas yang kondusif dan selesa perlu diberi perhatian. Jika bas-bas yang beroperasi di bandar mempunyai hawa dingin dan tempat duduk yang selesa, keadaan yang sama mesti juga ingin dinikmati oleh rakyat di luar bandar.


Pemuda Penjom dengan rendah diri ingin mencadangkan kepada Ahli Parlimen Lipis dan ADUN setempat bagi mengikuti jejak langkah YAB Dato' Seri Najib yang meninjau sendiri kualiti pengangkutan awam.

Berpandukan pendekatan Allahyarham ayahandanya, Dato' Sri Najib Tun Razak juga inginkan pentadbirannya memahami denyut nadi rakyat agar ia berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gulana sebenar kehidupan seharian rakyat.

Perdana Menteri berkata siri "walkabout" atau tinjauan mesra oleh beliau di kawasan-kawasan tertentu bukan sahaja bagi membolehkan beliau mendekati rakyat tetapi lebih penting supaya beliau dapat merasai sendiri secara visual dan melalui panca deria akan segala bau dan hiruk pikuk serta liku-liku kepayahan yang dilalui oleh orang ramai dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

"Contohnya, bagaimana kita hendak menggubal dasar pengangkutan awam jika kita sendiri tidak turun ke bawah menaiki LRT dan komuter atau bas yang menjadi nadi pengangkutan selama ini," katanya ketika berkongsi pengalamannya dalan Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 di Putrajaya

Kalau kita ingat lagi, tak sampai sebulan memegang jawatan Perdana Menteri, Dato' Sri Najib telah membuat tinjauan sambil berjalan dan menemui orang ramai di Petaling Street, Pantai Dalam dan Brickfields bagi meninjau kehidupan masyarakat akar umbi. Beliau juga telah meninjau sistem pengangkutan awam dengan menaiki LRT dan melawat stesen bas Puduraya.



“Beliau mengalami sendiri, dengan berjalan kaki dan menaiki LRT bersama orang ramai, apa yang mereka terpaksa lalui setiap hari, seperti kesesakan dan pelbagai kesulitan lain, di kawasan sesak.

Najib berkata beliau teringat pendekatan Allahyarham ayahandanya, Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, yang turun merapati rakyat ke kampung, sawah bendang, tanah-tanah rancangan serta menaiki basikal dan berperahu.

Najib berkata memang jelas pengalaman yang diperoleh itu amat berharga dan penilaian yang dapat dibuat sangat berbeza berbanding penilaian berasaskan laporan-laporan dibentang dalam keselesaan bilik pejabat berhawa dingin yang terpisah jauh daripada realiti kehidupan.

Perdana Menteri berkata sebab itulah beliau mahukan wakil rakyat dan pegawai kerajaan juga turun padang dari semasa ke semasa untuk memahami masalah pelanggan masing-masing.

"Jika kita benar-benar ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu mengetahui rintihan massa. Kita perlu fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi rakyat, barulah kita mampu mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut," katanya.

Kalau YAB Dato' Sri Najib berazam untuk menjadi Dikenali Sebagai Perdana Menteri Rakyat, adalah diharapkan Wakil yang kita pilih di Daerah Lipis juga benar-benar menjadi Wakil kepada Rakyat.

Monday, December 28, 2009

DAP mendahului Pendaftaran Pengundi Baru


Menurut sumber portal berita Malaysia Insider parti DAP mendahului dari segi gerak kerja bagi mendaftarkan pengundi-pengundi baru di Malaysia. Adalah dianggarkan lebih kurang 4 juta orang yang layak untuk mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih.Kebanyakkannya adalah lingkungan 30 tahun ke bawah.

DAP dilihat dominan dalam menggerakkan pendaftaran pengundi-pengundi baru khususnya generasi muda sejak selepas pilihan raya umum Mac 2008. Hakikat ini diakui oleh Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar kepada The Malaysian Insider.

DAP berada di depan berbanding parti komponen Barisan Nasional yang lain MCA, MIC dan Gerakan yang masih berhadapan dengan masalah dalaman masing-masing.Lazimnya mereka akan mendaftar pengundi baru dengan menyatakan pendirian politik masing-masing.

"Jika mereka berjaya mendaftar pengundi muda ini bermakna parti-parti ini juga menarik penyokong untuk mereka semasa pilihan raya nanti... ini kelebihannya," kata Wan Ahmad lagi.

DAP memfokus negeri Melaka, Perak, Selangor dan Pulau Pinang.Berada di belakang DAP ialah Umno yang mendaftar pemilih baru membabitkan semua negeri di seluruh negara.

PAS pula berada di tempat ketiga dengan fokusnya di negeri-negeri pantai timur dan utara Semenanjung iaitu Pahang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"Parti Keadilan Rakyat kurang, dia sederhana sahaja," katanya lagi.

Walaupun tidak menyatakan perangkaan khusus mengenai penonjolan DAP ini, Wan Ahmad memberitahu: "Daripada 10 pengundi baru yang didaftarkan di Melaka, sebagai contoh, lima pemilih merupakan mereka yang didaftarkan oleh DAP."

Pemuda Penjom berharap gerakan mendaftarkan Pengundi baru ini dibuat dengan agresif dan konsisten. Ia mesti dilakukan setiap hari dan berfokus. Jika di kampung, pendaftaran bolehlah dibuat ke rumah-rumah dan proses pendaftaran mestilah dimudahkan lagi tanpa melanggar prosedur asas yang ditetapkan.

Pemuda Penjom yang belum mendaftar, boleh berhubung dengan Ketua Pemuda UMNO Penjom atau pendaftaran pemilih akan dibuat dari masa ke semasa dan status pendaftaran akan dimaklumkan kepada anda.

Monday, December 21, 2009

Maal Hijrah 1431




Hari Awal Muharram atau Hari Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam. Ia memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Berlaku pada 1 Muharam, ia merupakan hari pertama Takwim Hijrah.

Di Malaysia, ia merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia.

Masjid Penjom dengan kerjasama Persatuan Belia Penjom akan mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah 1431 pada;
Tarikh: 25 Disember 2009
Tempat: Masjid batu 6, Penjom, Kuala Lipis, Pahang
Masa : 8.00 Pagi hingga 10.00 Malam

Atucara majlis adalah seperti di bawah:

8.00 pagi : Pendaftaran
8.30 pagi : Taklimat Pertandingan
9.00 pagi : Pertandingan Mewarna Tulisan Khat (6 tahun ke bawah)
: Pertandingan Mewarna Tulisan Khat (Murid tahap 1)
: Pertandingan Menulis Tulisan Khat (Murid tahap 2)
: Pertandingan Menulis Tulisan Khat (Bawah 40 tahun)
: Pertandingan Azan (Bawah 40 tahun)
: Pertandingan Menulis Sifat 20 (Lelaki/Perempuan 40 tahun ke atas)
11.00 pagi : Penyampaian Hadiah Mewarna Tulisan Khat
11.30 pagi : Jamuan Ringan
7.20 malam : Solat Magrib
: Ceramah Maal Hijrah (Ustaz Idris Bin Derus) Penceramah Pahang FM
: Solat Isyak
: Penyampaian Hadiah & Cenderamata
: Cabutan Nombor Bertuah
: Jamuan & Majlis Bersurai

Muslimin dan Muslimat dialu-alukan untuk mengambil bahagian di dalam acara yang dipertandingkan. Kehadiran anda sanagtlah dihargai bagi memeriahkan majlis ini.

Sunday, November 29, 2009

Program Santai Sup Tulang & Sate Pemuda Penjom


Satu program Santai Sup Tulang & Sate anjuran Ketua Penerangan Pemuda UMNO Penjom-Shahrul Azizul Musa telah diadakan pada 28 November 2009. Ia diadakan secara santai dan ringkas bagi mengumpulkan Belia dan Pemuda Penjom sempena Aidiladha 1430H.

Pada siang harinya, Pemuda dan Belia Penjom mengambil bahagian dalam membantu program Korban anjuran Masjid Penjom, Kuala Lipis.

Majlis ringkas ini tetap meriah dengan sesi bertukar-tukar cerita dan isu semasa. Turut Hadir dalam program ini ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Penjom-Khairul Nizam Dato' Abu Dahari, Jawatankuasa Pemuda Penjom dan ahli-ahli Pemuda Penjom

Melalui program seperti ini ia dapat mengeratkan silaturrahim dam memupuk semangat muhibbah di kalangan ahli Pergerakan Pemuda Penjom.