Tuesday, December 29, 2009

Rintihan Rakyat : Bas Pahang Lin Siong



"PERKHIDMATAN bas Pahang Lin Siong sangat teruk. Bas selalu lambat dan tidak tentu masa. Harap pihak berkenaan pantau masalah ini dan cari jalan untuk mengatasinya"

Begitulah rintihan rakyat yang dihantar ke ruangan interaktif akhbar Sinar Harian hari ini. Agaknya beliau sudah tidak tahu hendak mengadu kepada siapa lagi bagi mengambarkan kekecewaanya terhadap perkhidmatan bas Pahang Lin Siong yang telah menjalankan khidmat hampir berdekad lamanya.

Secara mudahnya, pengguna bas adalah golongan yang tidak mempunyai kenderaan sendiri dan berpendapatan rendah. Kerana tiada pilihan lain, hanya pengangkutan awam sahajalah yang menjadi tempat bergantung harap bagi bergerak dari satu destinasi ke satu destanasi yang lain.

Semasa Bajet 2009, Kerajaan telah mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk merancang, mengintegrasi, mengawal selia dan memajukan sistem pengangkutan awam negara. Suruhanjaya ini dijangka memulakan operasi pada tahun 2010.

Adalah diharapkan kerajaan serius bagi membangunkan isu pengangkutan awam khususnya di luar bandar yang majoriti penggunanya adalah golongan rakyat yang kurang berkemampuan.

Keadaan fizikal bas yang kondusif dan selesa perlu diberi perhatian. Jika bas-bas yang beroperasi di bandar mempunyai hawa dingin dan tempat duduk yang selesa, keadaan yang sama mesti juga ingin dinikmati oleh rakyat di luar bandar.


Pemuda Penjom dengan rendah diri ingin mencadangkan kepada Ahli Parlimen Lipis dan ADUN setempat bagi mengikuti jejak langkah YAB Dato' Seri Najib yang meninjau sendiri kualiti pengangkutan awam.

Berpandukan pendekatan Allahyarham ayahandanya, Dato' Sri Najib Tun Razak juga inginkan pentadbirannya memahami denyut nadi rakyat agar ia berupaya menyelami keluh kesah dan gundah gulana sebenar kehidupan seharian rakyat.

Perdana Menteri berkata siri "walkabout" atau tinjauan mesra oleh beliau di kawasan-kawasan tertentu bukan sahaja bagi membolehkan beliau mendekati rakyat tetapi lebih penting supaya beliau dapat merasai sendiri secara visual dan melalui panca deria akan segala bau dan hiruk pikuk serta liku-liku kepayahan yang dilalui oleh orang ramai dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

"Contohnya, bagaimana kita hendak menggubal dasar pengangkutan awam jika kita sendiri tidak turun ke bawah menaiki LRT dan komuter atau bas yang menjadi nadi pengangkutan selama ini," katanya ketika berkongsi pengalamannya dalan Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-10 di Putrajaya

Kalau kita ingat lagi, tak sampai sebulan memegang jawatan Perdana Menteri, Dato' Sri Najib telah membuat tinjauan sambil berjalan dan menemui orang ramai di Petaling Street, Pantai Dalam dan Brickfields bagi meninjau kehidupan masyarakat akar umbi. Beliau juga telah meninjau sistem pengangkutan awam dengan menaiki LRT dan melawat stesen bas Puduraya.



“Beliau mengalami sendiri, dengan berjalan kaki dan menaiki LRT bersama orang ramai, apa yang mereka terpaksa lalui setiap hari, seperti kesesakan dan pelbagai kesulitan lain, di kawasan sesak.

Najib berkata beliau teringat pendekatan Allahyarham ayahandanya, Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein, yang turun merapati rakyat ke kampung, sawah bendang, tanah-tanah rancangan serta menaiki basikal dan berperahu.

Najib berkata memang jelas pengalaman yang diperoleh itu amat berharga dan penilaian yang dapat dibuat sangat berbeza berbanding penilaian berasaskan laporan-laporan dibentang dalam keselesaan bilik pejabat berhawa dingin yang terpisah jauh daripada realiti kehidupan.

Perdana Menteri berkata sebab itulah beliau mahukan wakil rakyat dan pegawai kerajaan juga turun padang dari semasa ke semasa untuk memahami masalah pelanggan masing-masing.

"Jika kita benar-benar ingin berkhidmat untuk rakyat, kita perlu mengetahui rintihan massa. Kita perlu fahami setiap masalah, kekangan dan kesulitan yang dihadapi rakyat, barulah kita mampu mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah tersebut," katanya.

Kalau YAB Dato' Sri Najib berazam untuk menjadi Dikenali Sebagai Perdana Menteri Rakyat, adalah diharapkan Wakil yang kita pilih di Daerah Lipis juga benar-benar menjadi Wakil kepada Rakyat.

Monday, December 28, 2009

DAP mendahului Pendaftaran Pengundi Baru


Menurut sumber portal berita Malaysia Insider parti DAP mendahului dari segi gerak kerja bagi mendaftarkan pengundi-pengundi baru di Malaysia. Adalah dianggarkan lebih kurang 4 juta orang yang layak untuk mengundi masih belum mendaftar sebagai pemilih.Kebanyakkannya adalah lingkungan 30 tahun ke bawah.

DAP dilihat dominan dalam menggerakkan pendaftaran pengundi-pengundi baru khususnya generasi muda sejak selepas pilihan raya umum Mac 2008. Hakikat ini diakui oleh Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar kepada The Malaysian Insider.

DAP berada di depan berbanding parti komponen Barisan Nasional yang lain MCA, MIC dan Gerakan yang masih berhadapan dengan masalah dalaman masing-masing.Lazimnya mereka akan mendaftar pengundi baru dengan menyatakan pendirian politik masing-masing.

"Jika mereka berjaya mendaftar pengundi muda ini bermakna parti-parti ini juga menarik penyokong untuk mereka semasa pilihan raya nanti... ini kelebihannya," kata Wan Ahmad lagi.

DAP memfokus negeri Melaka, Perak, Selangor dan Pulau Pinang.Berada di belakang DAP ialah Umno yang mendaftar pemilih baru membabitkan semua negeri di seluruh negara.

PAS pula berada di tempat ketiga dengan fokusnya di negeri-negeri pantai timur dan utara Semenanjung iaitu Pahang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

"Parti Keadilan Rakyat kurang, dia sederhana sahaja," katanya lagi.

Walaupun tidak menyatakan perangkaan khusus mengenai penonjolan DAP ini, Wan Ahmad memberitahu: "Daripada 10 pengundi baru yang didaftarkan di Melaka, sebagai contoh, lima pemilih merupakan mereka yang didaftarkan oleh DAP."

Pemuda Penjom berharap gerakan mendaftarkan Pengundi baru ini dibuat dengan agresif dan konsisten. Ia mesti dilakukan setiap hari dan berfokus. Jika di kampung, pendaftaran bolehlah dibuat ke rumah-rumah dan proses pendaftaran mestilah dimudahkan lagi tanpa melanggar prosedur asas yang ditetapkan.

Pemuda Penjom yang belum mendaftar, boleh berhubung dengan Ketua Pemuda UMNO Penjom atau pendaftaran pemilih akan dibuat dari masa ke semasa dan status pendaftaran akan dimaklumkan kepada anda.

Monday, December 21, 2009

Maal Hijrah 1431




Hari Awal Muharram atau Hari Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam. Ia memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Berlaku pada 1 Muharam, ia merupakan hari pertama Takwim Hijrah.

Di Malaysia, ia merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia.

Masjid Penjom dengan kerjasama Persatuan Belia Penjom akan mengadakan majlis sambutan Maal Hijrah 1431 pada;
Tarikh: 25 Disember 2009
Tempat: Masjid batu 6, Penjom, Kuala Lipis, Pahang
Masa : 8.00 Pagi hingga 10.00 Malam

Atucara majlis adalah seperti di bawah:

8.00 pagi : Pendaftaran
8.30 pagi : Taklimat Pertandingan
9.00 pagi : Pertandingan Mewarna Tulisan Khat (6 tahun ke bawah)
: Pertandingan Mewarna Tulisan Khat (Murid tahap 1)
: Pertandingan Menulis Tulisan Khat (Murid tahap 2)
: Pertandingan Menulis Tulisan Khat (Bawah 40 tahun)
: Pertandingan Azan (Bawah 40 tahun)
: Pertandingan Menulis Sifat 20 (Lelaki/Perempuan 40 tahun ke atas)
11.00 pagi : Penyampaian Hadiah Mewarna Tulisan Khat
11.30 pagi : Jamuan Ringan
7.20 malam : Solat Magrib
: Ceramah Maal Hijrah (Ustaz Idris Bin Derus) Penceramah Pahang FM
: Solat Isyak
: Penyampaian Hadiah & Cenderamata
: Cabutan Nombor Bertuah
: Jamuan & Majlis Bersurai

Muslimin dan Muslimat dialu-alukan untuk mengambil bahagian di dalam acara yang dipertandingkan. Kehadiran anda sanagtlah dihargai bagi memeriahkan majlis ini.