Wednesday, November 18, 2009
Etika Berkomunikasi Di Laman Borak
Laman borak menjadi pilihan kepada pengunjung blog untuk bertukar-tukar fikiran dan menyampaikan makluman serta maklumat. Mana-mana laman borak akan menjadi menarik jika penggunanya tahu memanfaatkan kemudahan yang disediakan itu di samping menjaga tutur bicara mereka bagi menjadikan ruangan tersebut ceria dan berilmu. Semasa berbual, pastikan anda sentiasa menjaga tutur bicara dan bertimbang rasa serta bertanggungjawab.
Anggaplah semasa kita berbual di laman borak, kita sebenarnya berhadapan dengan ramai orang di sekeliling kita dan mereka membaca setiap mesej yang kita hantar ke situ. Oleh itu, anda mesti menjaga adab sopan, tingkah laku dan bicara anda sebagaimana anda berdepan dengan orang ramai.
Selain itu, anda juga boleh memilih nama samaran untuk menyertai ruangan seperti ini. Tetapi kalau hendak memilih nama samaran, anda dinasihatkan agar memilih nama samaran yang senonoh dan baik sikit. Kadangkala terbetik rasa malu juga bila ada pengguna yang menyertai ruangan ini memilih nama samaran yang tak senonoh dan tidak sedap disebut atau mendengarnya. Pemilihan nama samaran yang tak senonoh sebenarnya menggambarkan peribadi kita juga.
Kalau kita memilih nama samaran yang agak tidak senonoh, maka orang lain akan menganggap pemikiran dan peribadi kita juga begitu. Apatah lagi sebagai seorang Islam kita harus menjaga adab sopan di mana sahaja kita berada dan pada setiap masa walau dalam apa jua keadaan.
LARANGAN DAN ETIKA
Ketika berbual, elakkan diri daripada terlalu emosional. Kalau dah nak marah sangat janganlah sampai memaki hamun atau mengeluarkan perkataan-perkataan yang kesat di situ. Kalau tak puas hati, keluar saja dengan baik dari situ. Tak perlu marah-marah.Berikut antara beberapa larangan yang patut dijauhi oleh pengguna semasa berbual:-
- Mengeluarkan kata-kata yang kesat,kasar,bersifat mengugut dan lucah.
- Berperilaku tidak senonoh sehingga mengganggu ketenteraman orang lain.
- Menghantar maklumat yang tidak berguna kepada seseorang atau saluran kerana ia akan mengganggu kelancaran hubungan jaringan secara keseluruhan.
Apa pula yang patut anda lakukan:-
- Memberi salam setiap kali masuk ke ruangan berborak
- Menyapa setiap orang yang baru masuk.
- Menghargai pendapat orang lain.
- Menghargai privacy orang lain.
- Ramah, tidak mudah tersinggung, sabar dan pemaaf.
Semoga para pengguna kita dapat menjadikan ruangan berborak ini suatu tempat yang lebih berfaedah dan berilmu kepada semua dengan menjaga tatasusila kita semasa berbual. Kalau hendak berbual kosong pun, biarlah berpada-pada. Semoga kita semua mendapat manfaat yang baik daripada kepesatan teknologi maklumat pada zaman ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
sokong...!!!, penerangan yang amat berguna dan jelas!!!
Post a Comment