Tuesday, July 28, 2009

Kenangan Dr.Bubbles di Penjom



Artikel ini dipetik dari laman blog : drbubbles.blogspot.com
.Blog tersebut adalah kepunyaan Dr.Bubbles atau nama sebenarnya Iskandar Syah bin Ismail.

Iskandar Syah Ismail 33 tahun atau lebih dikenali Dr.Bubbles berumur 33 tahun adalah anak kepada Cikgu Ismail Mat berasal dari Padang Tengku (Kg Perlak), mengajar di Daerah Lipis dari tahun 1980-1988 (SK Penjom,SK Wan Ibrahim dan SRK Clifford) sebelum bertukar ke Jerantut dan terus menetap di sana sehingga kini.

Iskandar lebih mesra dengan nama panggillan ‘Is’ atau 'Jiss' di kalangan rakan-rakan sebaya dan penduduk Kg. Penjom sewaktu beliau tinggal di kampung ini.

Beliau merupakan lulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dari sebuah universiti di Bradford, United Kingdom tetapi sangat berminat dalam kerja-kerja kemanusia.

Iskandar @ Dr.Bubbles terkenal dengan kemahiran Terapi Badutnya (Clown Theraphy) dengan menghiburkan golongan kanak-kanak sakit di hospital dan kawasan krisis seperti di Zon Peperangan.

Beliau mendapat pendedahan dan latihan khusus dalam bidang ‘Doktor Badut’ ini di University of Winconsin dalam satu kursus jangka panjang dan pada tahun 2005 pula beliau berpeluang berguru dengan Guru Komedi Fizikal iaitu Avner Eisenberg di Celebration Barn Theatre di Maine, Perancis.

Iskandar terlibat dalam aktiviti-aktiviti kesukarelaan di seluruh dunia seperti di bencana Tsunami, Acheh, Gempa Bumi di Bam, Iran melalui Islamic Relief Malaysia (IRM) sebuah pertubuhan bukan kerajaan berkaitan kerja-kerja kemanusian yang berpangkalan di British.

Ikuti antara perkongsian pengalamannya ketika tinggal di Kampung Penjom. Begitu tinggi rasa cintanya kepada kampung kita ini walaupun keluarganya kini telah bermastautin di Jerantut Pahang.
----------------------------------------------------------------------------------
Ahad, 12 Julai 2009
Kenangan Muafakatnya Sebuah Kampung

Bapa saya mengajar di SK Penjom daripada tahun 1980 sehingga 1986 sebelum bertukar ke Jerantut sehinggalah beliau pencen.


Bapa saya dengan Tuan Guru Dolah.

Sabtu lepas, selepas menghadiri majlis perkahwinan anak rakannya di Kuala Relong,Kuala Lipis, beliau mengajak saya menziarahi Tuan Guru Dolah di Penjom. Rupa-rupanya Tuan Guru Dolah masih sihat walafiat walaupun usianya sudah mencecah 86 tahun. Saya masih ingat,sewaktu kecil dahulu, beliaulah yang mengajar tafsir Al-Quran di Masjid Penjom tanpa jemu walaupun anak-anak kecil seperti saya akan tersengguk-sengguk menahan kantuk.

Guru besar SK Penjom kini ialah Cikgu Rosmi Din. Anak jati kampung tersebut.Beliau juga 'anak-anak buah' bapa saya semasa bertugas di SK Penjom dahulu.Jika dahulu beliau hanya guru biasa, kini beliau kembali semula ke sekolah itu sebagai guru besar.

Bapa saya amat gembira melihat anak-anak buahnya seperti Cikgu Rosmi,Cikgu Suhaimi Yunan semuanya sudah berjaya dalam karier perguruan dengan menjawat jawatan guru besar.

Cikgu Rosmi memberitahu bapa saya ketika bertemu di SK Penjom pada hari Sabtu lepas,

"Saya mahu kembalikan kegemilangan SK Penjom seperti zaman cikgu dahulu".

Zaman bapa saya mengajar di SK Penjom dahulu nyata berbeza. Apabila beliau mula menjawat jawatan Guru Besar pada tahun 1980, buat pertama kali dalam sejarah Kg.Penjom, sambutan Jubli Emas SK Penjom disambut dengan gilang-gemilang. Dipanggilnya Tan Sri Ghazali Shafie "King Ghaz" untuk merasmikan majlis ulangtahun itu dan pada malamnya seluruh penduduk kampung Penjom dan kampung-kampung sekitarnya berkumpul di padang di belakang SK Penjom untuk menyaksikan persembahan kumpulan muzik yang terkenal pada waktu itu, The Carefree.

Sehingga kini, penduduk kampung itu masih mengingati saat-saat manis itu. Ia sebenarnya sebuah taktik licik bapa saya untuk mengajar penduduk kampung itu agar melihat jauh dari langkauan pandangan mereka selama ini.Beliau sebenarnya cuba mengajar penduduk kampung itu merasa bahawa sekolah merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka. Beliau mahu agar penduduk kampung itu bermuafakat untuk memastikan kejayaan anak-anak mereka di sekolah itu.

Selepas itu, sewaktu hari-hari Sukan Sekolah, beliau sekali lagi dengan liciknya menundukkan' penduduk kampung yang rata-rata anak mereka belajar di SK Penjom untuk turut sama menjayakannya. Merekalah yang bertungkus-lumus menyiapkan pondok rumah sukan sekolah bersama-sama anak mereka dari pagi hingga ke tengah malam.Esok paginya,semasa hari sukan sekolah, kami lihat pondok-pondok rumah sukan di tepi pandang sudah dihiasi indah dan mereka berdiri di tepi pondok dengan bangganya.Malah sebagai insentif, acara sukan juga diadakan untuk melibatkan para penjaga dengan acara-acara seperti lumba motorsikal paling lambat yang dimenangi oleh Pakcik Umar,bapa si Sharif,pelajar paling nakal dalam sejarah SK Penjom.

Alhamdulillah berkat kemuafakatan itu, maka mudahlah tugas guru di sekolah untuk mengajar anak-anak Penjom itu.Jika ada kelas tambahan, kelas akan penuh sentiasa. Semasa di hari penyampaian hadiah, semua penduduk kampung turun menyaksikan majlis penyampaian hadiah. Tiada masalah disiplin yang berat-berat ditimbulkan oleh anak-anak mereka.Sharif yang nakal itu juga dijinakkan dengan dilantik sebagai pengawas sekolah.Hahaha.

Jika ada acara gotong-royong di sekolah atau di masjid bersebelahan di mana bapa saya juga merupakan pengerusi masjid, berbondong-bondong penduduk kampung datang membantu membersihkan kawasan sekolah ,tanah perkuburan dan masjid.

Permuafakatan. Barangkali inilah legasi yang bapa saya tinggalkan di kampung ini.

Dari kiri: Cikgu Rosmi,Pakcik Manan,Bapa saya dan seorang penduduk kampung yang saya tidak ingat namanya.

Alhamdullillah,ketika kami singgah di SK Penjom selepas melawat Tuan Guru Dolah, kami dapat bertemu semula dengan Cikgu Rosmi dan penduduk-penduduk kampung itu yang masih saya kenali walaupun sudah tidak bertemu hampir 23 tahun lamanya.Mereka sedang menunggu ketibaan pegawai dari kementerian pendidikan untuk melihat tapak pembinaan dewan sekolah yang baru.

Alangkah gembiranya kami apabila mengetahui bahawa usaha pembinaan dewan SK Penjom yang baru akan dilaksanakan oleh para penduduk kampung itu sendiri melalui koperasi yang telah ditubuhkan oleh mereka. Inilah bukti muafakatnya sebuah kampung masih kuat untuk melihat anak-anak jati kampung itu berilmu dan berjaya di dalam hidup.

Saya pasti bapa saya sedang tersenyum kini kerana usaha liciknya itu sebenarnya telah berjaya.
------------------------------------------------------------------------------

Ikuti lagi kenangan lain beliau di Kg. Penjom (Sila klik pada tajuk di bawah)

1.Kisah Masjid Penjom

2.Kisah Perpustakaan SK Penjom

3.Kisah Keropok Jering dan Arwah We Baiti

4.The Star Online-Doctor Clown

1 comment:

drbubbles said...

Assalamualaikum warga Penjom yang saya amat kasihi,

Tentu sahaja saya terkejut apabila kenangan manis saya di Penjom yang tulis dirakamkan semula di dalam blog ini untuk tatapan orang Penjom.

Benar, walaupun saya dan keluarga bermastautin di Jerantut, tetapi kami masih merasakan kami masih orang Penjom.Jangan marah kalau saya katakan saya lebih Penjom daripada orang Penjom!Hehehe.

Saya bangga dan bertuah dibesarkan di Penjom kerana semangat juang orang kampung Penjom itulah yang saya sematkan di dalam hati - betapa anak kampung juga mampu berjaya dalam hidup.

Sebenarnya saya selalu singgah di Penjom.Kadang-kadang sengaja melencong mengikuti jalan Bentong-Raub - Kuala Lipis -Jerantut yang mungkin menambahkan setengah jam perjalanan semata-mata untuk singgah di kedai Pak Kudus untuk merasa kembali sambal hitam.

Saya gembira kerana dapat melihat wajah-wajah rakan sepersekolahan saya seperti Shahroni - senior 1-2 tahun,Sarif Omar (manusia paling nakal dalam sejarah sekolah SK Penjom..hehehe) di sini.

Teruskanlah muafakat ini demi kesejahteraan Kg Penjom yang tercinta.

Jika ada majlis keramaian, janganlah lupa saya di sini.