Tuesday, August 18, 2009

Bloggers Perlu Didik Masyarakat Luar Bandar



Berikut adalah liputan akhbar Utusan Malaysia Versi Online sewaktu Pelancaran Blog Pemuda Penjom tempohari. Berita penuh sila layari di : Blogger Perlu Didik Masyarakat Luar Bandar (Pemuda Penjom)

UMNO Pahang(Pemuda Penjom)

ARKIB : 04/07/2009

Bloggers perlu didik masyarakat luar bandar

JERANTUT 3 Julai - Golongan bloggers disaran 'turun padang' untuk mendidik masyarakat luar bandar mengenai Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) yang masih belum berkembang di kawasan itu.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat berkata, kewujudan ramai bloggers sepatutnya membantu kerajaan mengurangkan jurang digital yang masih luas antara kawasan bandar dan pedalaman.

''Sewajarnya pengetahuan dan kemahiran bloggers ini diperluaskan kepada masyarakat luar bandar yang masih ketinggalan dalam ICT," katanya ketika melancarkan blog rasmi Pemuda UMNO Kampung Penjom di sini hari ini.

Abu Jimi yang juga Ketua Pemuda UMNO Lipis berkata, blog merupakan medium baru untuk memperoleh maklumat dan perkembangan semasa.

''Masyarakat boleh mengemukakan segala cadangan, pandangan dan kritikan menerusi blog,"katanya.

Bagaimanapun, tegasnya, bloggers perlu mematuhi etika dan berhemah agar pandangan yang dikemukakan itu tidak menjejaskan maruah serta peribadi pihak tertentu dengan memaparkan maklumat tidak betul.

Dalam pada itu, beliau memuji langkah proaktif Pemuda UMNO Kampung Penjom yang melancarkan blog mereka bagi menghubungkan masyarakat dengan dunia luar.

''Ia merupakan langkah bijak yang menyediakan saluran maklumat kepada penduduk dengan menjadikan ICT sebahagian daripada kemudahan dalam kehidupan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO cawangan Kampung Penjom, Khairul Nizam Abu Dahari menjelaskan, pelancaran blog itu sejajar dengan keperluan masyarakat setempat untuk mengakses maklumat dan bertukar pandangan.

''Kami terpanggil untuk menubuhkan blog memandangkan ahli-ahli Pemuda UMNO di sini begitu berminat melayari Internet dan berkongsi pendapat dengan bloggers di kalangan Pemuda UMNO di tempat lain," katanya.

Pada majlis itu, Abu Jimi turut menerima 30 borang permohonan baru untuk menyertai Pemuda UMNO.

Laman blog Pergerakan Pemuda UMNO cawangan Kampung Penjom boleh dilayari di alamat http://pemudapenjom.blogspot.com.

No comments: