Wednesday, March 31, 2010
Pemuda Penjom Menyokong Keputusan Kerajaan Pindahkan Lokasi Sambutan Hari Pahlawan
Pergerakan Pemuda UMNO Penjom menyokong penuh langkah kerajaan hari ini yang telah memutuskan Sambutan Hari Pahlawan sering diadakan di Tugu Negara pada setiap 31 Julai akan dipindahkan ke Putrajaya.
Ia bagi mematuhi garis panduan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebelum ini yang menyatakan sambutan itu tidak boleh diadakan di kawasan yang mempunyai patung menyerupai manusia.
Antara Fatwa yang telah diwartakan berkenaan Hari Pahlawan ialah amalan seperti tiupan 'Last Post', bertafakur dengan menundukkan kepala, meletakkan kalungan bunga, bacaan sajak, nyanyian dan tiupan 'Rouse' yang dilakukan di hadapan tugu dalam upacara menyambut Hari Pahlawan adalah bercanggah dengan Islam dan boleh membawa kepada syirik.
Langkah ini dilihat usaha kerajaan mematuhi nilai-nilai Islam melalui Majlis Fatwa Kebangsaan dan meninggalkan amalan tradisi yang diwarisi sejak zaman penjajah lagi.
Tugu Peringatan Negara atau juga dikenali sebagai Tugu Negara Malaysia disiapkan 8 Februari 1966 sebagai penghormatan kepada lebih 11 ribu perajurit yang gugur jasa-jasa pahlawan yang gugur dalam Perang Dunia I (1914-1918), Perang Dunia II (1935-1942) dan semasa Darurat (1948-1960). Ia terletak di ibu negara, Kuala Lumpur berhampiran dengan bangunan Parlimen.
Pada setiap tahun, satu perbarisan hormat akan diadakan di Tugu Negara. Tugu tersebut menggambarkan sekumpulan tentera mengibar bendera negara, Jalur Gemilang. Setiap patung gangsa tersebut melambangkan pimpinan, getir, persatuan, siap sedia, kekuatan, keberanian, dan pengorbanan.
Dibina pada tahun 1966, tugu tersebut berdiri setinggi 15 meter, diperbuat daripada gangsa dan direka oleh pengukir Austria, Felix de Weldon yang bertanggung jawab bagi Tugu Peringatan Perang USMC (USMC War Memorial) di Virginia, Amerika Syarikat.
Ia pernah diletupkan oleh komunis pada 26 Ogos 1975 yang memusnahkan satu patung besar serta dua kepala patung yang jatuh dari kedudukan asalnya. Ia merupakan usaha komunis bagi melemahkan usaha kerajaan menyemai semangat cintakan negara dan patriotik melalui pembinaan tugu tersebut.
Satu dataran tetap berkeluasan 2-3 ekar akan dibina di Putrajaya sebagai tempat perhimpunan Hari Pahlawan yang menepati kehendak Majlis Fatwa Kebangsaan dan pada masa yang sama dapat memberi gambaran kepada masyarakat tentang pengorbanan dan jasa pahlawan-pahlawan negara.
Bagi menyemarakkan semangat Hari Pahlawan sejak awal lagi, ia juga patut diadakan di peringkat akar bumi bagi menyemai semangat perjuangan di kalangan generasi muda dan pewaris negara masa depan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment